Cinta tak berbelah bahagi, Lee Tuck kongsi mesej tersirat buat penyokong HM


  • Podium
  • Khamis, 21 Sep 2023

Penyerang naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck (tengah) menyimpan mesej tersirat buat penyokong Harimau Malaya menerusi perkongsian terbaharunya di laman Facebook baru-baru ini.

PEMERGIAN penyerang naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck dalam kancah liga bola sepak kebangsaan nyata satu kehilangan besar buat peminat.

Kelab terakhir diwakili Lee Tuck di Malaysia adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC. Akan tetapi, tidak sampai semusim, pemain itu telah menamatkan kontraknya dan pulang ke United Kingdom.

Pemergiannya ke negeri kelahirannya melihatkan bekas peledak Harimau Malaya itu seperti sudah berubah haluan dan ingin menceburkan diri dalam bidang hartanah.

Fokus Lee Tuck kini terarah kepada penglibatan luar bola sepak dengan dia kini merupakan seorang ejen dalam bidang hartanah dan mempunyai syarikat hartanah sendiri yang dikenali sebagai Unified Properties.

nififi

Unified Properties merupakan perusahaan oleh Lee Tuck dan isterinya di UK. — Instagram/@unifiedproperty

Diusahakan bersama-sama isterinya iaitu Georgia, perniagaan yang dikendalikan mereka adalah gabungan kepakaran dalam bidang pembinaan serta hartanah.

Namun, perkongsian di laman Facebook peribadi Lee Tuck baru-baru ini melihatkan seolah-olah dia masih menyimpan rasa cinta terhadap Malaysia.

Meskipun tidak lagi menyarung jersi Harimau Malaya, Lee Tuck dilihat kekal menyarung baju latihan skuad kebangsaan walaupun berjauhan beribu kilometer.

kitt

Lee Tuck tampil menggayakan baju latihan pasukan kebangsaan ketika melakukan senaman di gimnasium bersama rakannya. — Facebook/LeeTuck

Ia secara tidak langsung membawa mesej tersirat bahawa penyerang naturalisasi itu masih menyimpan keinginan untuk beraksi mewakili pasukan negara sekiranya diberikan peluang.

Untuk rekod, Lee Tuck mula mencipta nama dalam kancah bola sepak tempatan sejak 2017 apabila menyertai Negeri Sembilan FC.

Zaman kegemilangannya bermula apabila berhijrah ke skuad Terengganu FC dan diakhiri dengan kemanisan apabila diberikan status naturalisasi dan beberapa kali tersenarai dalam panggilan skuad kebangsaan.

Walaupun belum mengumumkan sebarang persaraan daripada bola sepak, namun Lee Tuck kini sudah mula menceburi bidang lain untuk mencari rezeki dan diharapkan agar kelibatnya di atas padang bersama pasukan negara mampu disaksikan lagi pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram