BAGAIKAN sinar baharu buat rakyat Indonesia apabila Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pertama menghubungkan Jakarta dan Bandung sudah mula beroperasi sejak 18 Ogos.
Pelancaran projek oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo itu turut meraih perhatian warga Malaysia di media sosial.
Presiden Jokowi sempat bergambar ketika pertama kali menaiki Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pertama Indonesia pada Rabu. — Agensi
Malah, berita itu juga dikongsi menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh Khairul Azri di Facebook pada Jumaat.
"Empat kali datang ke projeknya kereta cepat, tapi baru pertama kali tadi mencuba.
"Nyaman, dan pada kecepatan 350 kilometer perjam (km/j) tidak terasa sama sekali baik saat duduk atau saat saya berjalan.
"Ya inilah peradaban," tulisnya mengambil ulasan daripada Presiden Indonesia itu.
Melalui hantaran tersebut, Khairul juga dilihat berkongsi beberapa keping gambar dan video Presiden Jokowi sekitar majlis pelancaran tersebut.
Presiden Jokowi teruja dengan hasil projek HSR yang berjaya dilancarkan. — Agensi
"Jokowi, Presiden Indonesia mengulas pengalaman kali pertama menaiki tren HSR di negara republik berkenaan," kongsinya.
Sementara itu, beberapa warga maya lain turut tertarik dengan hantaran tersebut dan memberikan respons yang mengaitkan dengan isu di Malaysia.
"Sayang sekali, kalaulah 2018 tidak buat kerja b*d*h tahun 2024 hingga 2025 ini Malaysia sudah lebih maju.
"Ini Mass Rapid Transit (MRT), Light Rapid Transit (LRT) pun tangguh apa lagi HSR. Semua jahanam dek kerana hasad dengki semata-mata," tulis pengguna Facebook, Farhan Wahab.
Selain itu, pengguna bernama Sham Bob Ramly juga meluahkan kekesalannya dengan menulis 'Indonesia makin maju, Malaysia pula tidak habis-habis berpolitik'.
"Saya berpendapat kerajaan hari ini bertindak atas dasar politik dan bukan ekonomi. Pelan Kedah Aetropolis dan pembangunan infrastruktur asas air pun tak dipandang hanya kerana politik.
"Sedangkan pelan-pelan tersebut boleh menaikkan ekonomi negara daripada ditinggalkan negara-negara jiran.
"Bila pentadbiran dilaksanakna atas dasar dendam, maka yang jadi mangsa adalah rakyat dan negara," komen salah seorang warga Facebook membalas kepada kenyataan tersebut.
Sebelum ini, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sepanjang 350 kilometer (km) menghubungkan Malaysia dan Singapura itu pada mulanya ditangguh dalam tempoh masa yang lama.
Susulan daripada tempoh penangguhan yang panjang, projek itu telah dibatalkan selepas kedua-dua negara tersebut gagal mencapai kata putus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram