Sidang kemuncak Asean ke-43 di Jakarta tumpu pertumbuhan ekonomi


  • Primer
  • Selasa, 05 Sep 2023

Pemimpin negara anggota ASEAN bergambar pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, Selasa.

SIDANG Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) ke-43 dan sidang kemuncak berkaitan dimulakan di Jakarta pada Selasa, dengan tumpuan menjadikan rantau itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Wanita Pertama Iriana mengalu-alukan ketibaan ketua-ketua negara dan kerajaan yang menyertai sidang kemuncak ke-43 Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) di Jakarta pada Selasa, lapor agensi berita Antara.

Pasangan itu secara peribadi mengalu-alukan dan menyapa para delegasi yang mula tiba di Dewan Pleno Pusat Konvensyen Jakarta, kira-kira 9.35 pagi (2.35 pagi GMT) waktu tempatan.

Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Thailand, Sarun Charoensuwan, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong tiba di Jakarta.

JAKARTA, 5 Sept -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) di Senayan, hari ini.Sidang Kemuncak itu berlangsung dari 5 hingga 7 Sept ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar bersama Hun Manet sempena sidang kemuncak Asean ke-43 di Jakarta, Selasa.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, dan Sultan Brunei Darussalam Hassanal Bolkiah, diiringi Putera Abdul Mateen, kemudian menyertai perwakilan Asean.

Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao turut menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-43 sebagai pemerhati.

Berucap pada majlis perasmian itu, Jokowi menggesa Asean untuk terus bersatu dan tidak menjadi proksi kepada mana-mana kuasa, lapor Xinhua.

"Jangan jadikan kapal kita, Asean, menjadi gelanggang persaingan yang menyebabkan kerosakan antara satu sama lain. Jadikan kapal kita sebagai asas untuk membina kerjasama dan mewujudkan kemakmuran, kestabilan dan keamanan, bukan sahaja untuk rantau ini tetapi juga untuk dunia," katanya.

Dalam tempoh tiga hari akan datang, pemimpin negara-negara anggota Asean dijangka membincangkan isu-isu yang akan membentuk masa depan Asean sebagai sebuah komuniti dan sebuah institusi.

Ini termasuk mempercepatkan langkah membuat keputusan dalam krisis dan kecemasan, serta langkah untuk meningkatkan kapasiti Asean untuk bertindak balas terhadap cabaran yang muncul di rantau ini.

"Asean, sebagai sebuah kapal besar, mempunyai tanggungjawab besar kepada ratusan juta orang yang belayar bersama kita. Walaupun kita terpaksa berdepan ombak tinggi, sebagai pemimpin negara Asean, kita mesti memastikan kapal dapat terus berlayar dengan baik dan memacunya ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran," kata Widodo.

Sidang kemuncak tahun ini yang dipengerusikan oleh Indonesia bertemakan 'Asean Matters: Epicentrum of Growth'.

Dalam dekad yang lalu, purata pertumbuhan ekonomi tahunan Asean mencapai 3.98 peratus, melebihi pertumbuhan global 2.6 peratus, menurut data Asean.

"Kita mempunyai modal besar untuk mencapainya (epicentrum of growth). Tetapi Asean mesti bekerja lebih keras, lebih kolaboratif, lebih berani dan bergerak lebih pantas.

"Asean juga memerlukan strategi taktikal dan praktikal jangka panjang yang selaras dengan keperluan rakyat, bukan hanya untuk lima tahun akan datang, tetapi juga untuk 20 tahun akan datang sehingga 2045," kata presiden Indonesia itu.

Ditubuhkan pada 1967, kumpulan Asean terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram