
AKSI melibatkan Sabah FC dan Perak FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia sememangnya menghiburkan para penyokong sebelum kedua-dua kelab terikat seri 2-2 pada Jumaat.
Pertembungan di Stadium Likas, Kota Kinabalu menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai cita-cita besar untuk meraih bekalan selesa sekali gus mencari tempat ke separuh akhir.
Sabah yang beraksi di tempat sendiri sememangnya begitu berbahaya untuk mana-mana pasukan yang datang bertandang. Rekod mereka di laman sendiri cukup ampuh dan amat sukar bagi pelawat untuk mendapatkan sesuatu.
Sementara Perak yang dilihat sebagai pasukan pilihan dijangka akan mudah ditewaskan oleh Sabah, namun ia nyata meleset apabila mereka menonjolkan persembahan melawan terhadap tuan rumah.
Wan Zack Haikal meraikan gol penyamaan Perak di separuh masa kedua. — Facebook/Perak Football Club
Melihat kepada reaksi penyokong, mereka begitu terhibur dengan persembahan yang ditonjolkan oleh kedua-dua pasukan kerana perlawanan yang diharungi cukup sengit. Namun begitu, kedua-dua penyokong ada sebab untuk kecewa dengan pasukan masing-masing.
Bagi penyokong Sabah, mereka agak kecewa walaupun kerap menyerang tetapi jaringan penting sukar dicari.
"Penyudah kurang tajam, ayuh Sabah," kata penyokong bernama Arwin Ruin.
"Serangan banyak, namun penyudah entah ke mana. Ayuh Ramon Machado," komen Jailin Jamain Ojek pula.
Aksi sengit ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan di Likas. — Facebook/Perak Football Club
Ada juga penyokong Sabah yang berasakan sengat di bahagian tengah berkurangan kerana ketiadaan Park Tae-su.
"Ketiadaan Park Tae-su di bahagian tengah nampak longgar," ujar Morris Anjis.
"(Bahagian) tengah Sabah tak cukup solid tanpa Park Tae-su," tulis Naldz May pula.
Bagi penyokong Perak pula, mereka berpuas hati dengan semangat juang pasukan tetapi gerun melihat aksi penjaga gol iaitu T. Shaheeswaran.
"Game sedap, penjaga gol berat nanang," kata penyokong Perak bernama Nasrullah Ridzuan.
"Seram bila tengok Perak kena serang, penjaga gol tak menyakinkan langsung," ujar Ahmad Shah.
"Penjaga gol kena agresif sikit. Ini bukan perlawanan pasukan bawah 18 tahun. Kejor Yob Kejor," kritik Roslan Lanrock.
Aksi kedua antara kedua-dua pasukan akan diadakan di Stadium Perak, Ipoh pada 25 September. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram