JOHOR Darul Takzim (JDT) memastikan membawa bekalan selesa dalam perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia nanti selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 3-0 di Stadium Paroi, Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu.
Perlawanan yang bermula hambar itu mendapatkan sorakan daripada penyokong pelawat selepas Arif Aiman melepaskan rembatan padu sekali gus menewaskan Firdaus Imran pada minit ke-20 permainan.
Serangan bertali arus Harimau Selatan itu sekali lagi menambah jaringan gol menerusi sepakan penalti Bergson da Silva pada minit ke-30.
Ia bagaimanapun keputusan itu sedikit kontroversi selepas pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri mendakwa berlaku kekasaran dalam kotak penalti meskipun dilihat tiada sebarang sentuhan ke atas Bergson.
Arif menjaringkan gol pada minit ke-20. — Facebook/JDT
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan bermula garang apabila kerap kali menyerang ke kubu pertahanan JDT menerusi pemain-pemain seperti Mahali Jasuli, Filemon Anyie Standly dan Barathkumar Ramaloo.
Selepas 20 minit aksi berlalu, satu insiden pergaduhan berlaku di antara Juan Muniz dan Sean Eugene Selvaraj sehingga memaksa Suhaizi melayangkan kad kuning kepada pemain bintang JDT itu.
Meskipun Negeri Sembilan lebih banyak melakukan serangan pada separuh masa kedua, tetapi gagal membolosi gawang gol yang dijaga rapi oleh Ahmad Syihan Hazmi.
Sebelum tamat perlawanan, Suhaizi sekali lagi melakukan kontroversi apabila membenarkan jaringan kedua Bergson meskipun tiga pemain JDT sudah berada di kedudukan ofsaid.
Keputusan kekal 3-0 sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.
Prestasi merosot Bergson mengundang kerisauan penyokong JDT. — Facebook/JDT
Walaupun berjaya membawa bekalan selesa, penyokong JDT tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Bergson yang dilihat semakin merudum sekali gus menimbulkan kebimbangan apabila bertemu Kawasaki Frontale pada Selasa depan.
"Esteban Solari kena keluarkan Bergson, sejak kebelakangan ini dia semakin tak menjadi di depan gawang gol," kata Asri Arshad.
"Bergson sekarang dah tak 'power', tunggu penalti sahaja," ujar Bariah Rashidi.
"Harap Bergson tak buat lagi jatuh macam itu, nampak macam saja jatuhkan badan. Kami nak gol yang berkualiti dari Bergson," luah Eddy Junior.
"Bergson dengan wayang memang tak dapat dipisahkan, kadang walau saya penyokong JDT pun kecewa dengan aksi dia itu," jelas Jay Ho.
Selepas ini JDT akan melayani kunjungan Kawasaki Frontale bagi perlawanan pembukaan Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram