NAMA bekas penyerang Perak FA, Laszlo Repasi sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri bola sepak tanah air terutamanya bagi penyokong skuad Seladang pada suatu ketika dahulu.
Manakan tidak, penyerang import dari Hungary itu pernah menggegarkan bola sepak negara pada 1997 sehingga 1999 sebelum dia berpindah ke Finland.
Laszlo mula mencipta nama dalam saingan Liga Malaysia selepas dibawa masuk oleh Karl Heinz Weigang pada 1997.
Meskipun hanya menyertai pasukan tersebut pada pertengahan saingan Kempen Liga Perdana Satu 1997, figura ini berjaya meledakkan 19 gol dalam 14 perlawanan.
Malah pada ketika itu, Laszlo turut dinobatkan sebagai pemenang anugerah kasut emas pada musim tersebut.
Laszlo mula mencipta nama dalam saingan Liga Malaysia selepas dibawa masuk oleh Karl Heinz Weigang pada 1997. — Facebook/Laszlo
Melihat kepada prestasi itu, tidak hairanlah ada dalam kalangan penyokong Perak FC mahu bekas penyerang berusia 57 kembali bersama skuad Seladang sebagai jurulatih.
Hasrat itu dizahirkan menerusi laman kelab penyokong The Bos Gaurus (TBG) selepas Laszlo dikenal pasti menyertai laman Perak All Legend.
"Hello, yes", balasnya ringkas selepas seorang penyokong Seladang bertanya memintanya untuk menjadi pengendali kelab berpangkalan di Utara tanah air tersebut.
Walaupun ia sekadar respons ringkas kepada seorang penyokong namun ia menjadi satu tanggapan yang serius bagi sebahagian pengikut Perak FC.
Tanggapan tersebut mungkin juga hadir apabila ada segelintir penyokong masih kurang menggemari corak permainan yang ditunjukkan ketua jurulatih kini, Yusri Che Lah.
Prestasi skuad Sang Seladang pada ketika ini kurang memberansangkan sekali gus meletakkan mereka hanya berada di tangga ke-11 carta Liga Super. —Facebook/ PerakFC
Sementara itu, hasil tinjauan Majoriti pada laman Facebook Laszlo mendapati, laman media sosial berkenaan merupakan milik pemain berketinggian 1.85 meter tersebut.
Malah, dia juga dilihat memuat naik beberapa video berkenaan skuad Sang Seladang di Facebook peribadi miliknya itu.
Untuk rekod, Perak FC pada ketika ini hanya mampu berpuas hati berada di tangga ke-11 carta Liga Super selepas 21 perlawanan dan hal itu menyebabkan ada segelintir penyokong yang tidak berpuas hati dengan pencapaian pasukan kesayangan mereka itu.
Skuad Seladang bakal bertembung dengan Sabah FC pada pusingan suku akhir Piala Malaysia pada Jumaat ini di Stadium Likas, Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram