SKUAD kebangsaan sekali lagi memberi persembahan memuaskan kepada seluruh rakyat Malaysia apabila berhasil mengikat China 1-1 dalam aksi persahabatan kedua edisi September ini di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, China, pada Sabtu.
Permulaan permainan bermula dengan tempo tinggi dengan skuad Harimau Malaya terus cuba membolosi gawang China namun penjaga garisan terlebih dahulu mengangkat bendera 'offside' dan sekali gus menafikan jaringan dari Faisal Halim.
Faisal bagaimanapun berhasil membalas dendam dengan menjaringkan gol pembukaan membuat Malaysia apabila lorongan dari Akhyar Rashid menerusi kaki kanannya berhasil disudahkan dengan tenang oleh pemain Selangor FC itu pada minit ke-10.
Tersentak dengan jaringan gol Harimau Malaya, pasukan tuan rumah terus membuat percubaan demi percubaan dan akhirnya ia diterjemahkan oleh Lin Liangming pada minit ke-36 sekali gus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-1.

Faisal ketika meraihkan jaringannya buat Malaysia. — Facebook/FAM
Separuh masa kedua disambung dengan aksi lebih agresif daripada kedua-dua pasukan, namun masih gagal untuk mencetak sebarang jaringan gol walaupun beberapa percubaan tepat ke arah pintu gol cuba dilakukan.
Aksi babak kedua itu juga terpalit dengan kejadian kontroversi apabila berlaku pertembungan antara bek kanan, Syahmi Safari dengan pemain China pada minit ke-79 sehingga menimbulkan kerisauan Pan-gon dan pengadil skuad Tembok Besar, Aleksandar Jankovic.
Meskipun tidak mampu memberi kemenangan namun corak permainan yang ditampilkan Kim Pan-gon menentang pasukan pada ranking ke-80 dunia itu meraih pujian menggunung daripada ekor Harimau Malaya dan dipercayai mampu memberi tentangan pada Piala Asia nanti.
"Syok game play malaysia... Yakin... Cuma nampak pemain tidak berapa cergas... Harap momentum macam ini diteruskan sampai Piala Asia nanti... Ayuh Harimau Malaya," kata penyokong skuad kebangsaan, Tarmizi Ben Rani.
"Kita ada kualiti tapi perlu lebih agresif. Overall Malaysia lebih baik daripada China," tambah seorang penyokong, Hakim Roslan.
"Aura Piala Asia dah nampak ini. Kena kekalkan prestasi saja," jelas penyokong, acap fahrin.
Selepas ini, Harimau Malaya dijadual menentang India dalam Pestabola Merdeka pada 13 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
