PRESTASI pasukan Sabah sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini boleh dikatakan agak mengecewakan.
Apatah lagi, dengan kedudukan Sang Badak ketika ini yang tidak berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik semasa saingan Liga Super yang semakin melabuhkan tirainya dengan berbaki empat perlawanan.
Tidak dinafikan ada antara peminat The Rhinos yang mula meluahkan kerinduan mereka untuk menyaksikan kembali aksi beberapa bekas pemain import tengah Sabah, malah sudah mula membuat perbandingan mereka dengan bintang kelahiran Portugal, Telmo Castanheira.
Antara yang dirindu termasuklah Levy Madinda, pemain kelahiran Gabon yang pernah beraksi selama satu musim bersama Sabah FC pada tahun 2021.
Untuk rekod, Madinda pernah menyertai Sabah FC pada musim 2021 daripada kelab Turkiye, Giresunspor namun tidak disambung kontrak kerana dipercayai meminta gaji yang lebih tinggi.
Sepanjang bersama Sabah sebelum ini, pemain berusia 31 tahun itu berhasil membuat sebanyak 16 penampilan dalam saingan Liga Super dengan rekod empat jaringan dan tiga bantuan gol.
Madinda pernah beraksi bersama Sabah FC pada tahun 2021. — Facebook
Mula mendapat pujian oleh penyokong Indonesia kerana aksi cemerlang bersama Persib Bandung, Madinda kini merupakan antara pemain tengah terbaik Liga 1 Indonesia 23/24.
Dibawa oleh Bojan Hodak ke Persib Bandung pada Julai lalu secara pinjaman daripada Johor Darul Takzim (JDT), pemain berketinggian 1.82 meter itu hanya mengambil masa selama dua bulan lebih untuk menambat hati penyokong negara seberang.
Sebelum berhijrah ke Indonesia, Madinda terlebih dahulu dipinjamkan ke Negeri Sembilan FC (NSFC) pada musim ini bagi memperkuat skuad kendalian K. Devan sehingga jendela perpindahan kedua dibuka pada bulan lalu.
Menjengah ke ruangan komen di laman Facebook, rata-rata peminat The Rhinos dilihat turut memuji persembahannya di atas padang dalam mengawal jentera tengah dan sekali gus boleh diharapkan untuk meledak jaringan gol.
Rata-rata peminat Sang Badak memuji persembahannya di atas padang dalam mengawal jentera tengah.
"Rajin juga dia ni, lawa midfield Sabah ada dia," tulis Winho Reds.
"Sejak dia main dengan Negeri Sembilan, memang lama sudah power kawal tengah," ujar Rawson.
"Dia kena drop dari Sabah pun pasal demand gaji besar tapi masa itu selalu cedera juga," kata Lukas Petrus Devaryo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram