FAM sahkan 'ref botak' belum boleh adili Liga Super, ada tugas khas urus VAR


  • Podium
  • Ahad, 03 Sep 2023

Zulkarnain (kanan) ketika dilihat menjalani latihan fasa kedua teknologi VAR. — Facebook/FAM

BARU-BARU ini, gambar seorang bekas pengadil yang pernah mencetuskan kontroversi iaitu Zulkarnain Zakaria dilihat turut terlibat menjalani latihan Video Bantuan Pengadil (VAR) di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Nama Zulkarnain atau lebih dikenali sebagai ‘ref botak’ boleh dikatakan amat popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana sering terlibat dalam beberapa keputusan kontroversi.

Antara insiden hangat melibatkannya dirinya ialah ketika aksi Liga Super Sabah FC menentang Penang FC yang mana dia difahamkan silap menginterpretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada pasukan The Rhinos pada minit ke-41 dan minit 90+9.

Rentetan kejadian berkenaan, badan induk bola sepak tanah air membuat keputusan untuk mengenakan tindakan menggantung Zulkarnain daripada mengadili sebarang perlawanan bagi musim 2023.

WhatsApp Image 2023-09-03 at 21.22.45

Zulkarnain digantung daripada mengadili semua perlawanan Liga Malaysia 2023. — Facebook/Penang FC

Oleh itu, kelibatnya menyertai kursus VAR tersebut menimbulkan kerisauan penyokong dan mula tertanya-tanya sama ada Zulkarnain akan kembali mewarnai saingan liga domestik pada musim depan.

Bagaimanapun, tampil membuat penjelasan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan mengenai penggantungan pengadil tersebut.

"Zulkarnain sudah menjalani penggantungan dekat setahun, dalam masa penggantungan tersebut, FAM sudah buat sesi kaunseling dan dia juga turut melakukan latihan kecergasan.

"Jawatankuasa Pengadil FAM memberi peluang untuk melepaskan penggantungan kerana mengambil kira bahawa dia merupakan seorang pengadil yang cukup pengalaman.

"Selepas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil, FAM memberi peluang kepada dia untuk mengadili liga-liga bawahan seperti Piala Presiden dan Piala Belia," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Zulkarnain juga masih berada dalam pemantauan dan FAM akan melihat prestasi semasa.

Selain itu, beliau turut menjelaskan mengapa kelibat Zulkarnain turut berada dalam latihan VAR tersebut.

"Untuk VAR pula, kita mahu pengadil yang berpengalaman dan tentunya dia (Zulkarnain) seorang yang berpengalaman dalam bola sepak tempatan.

"Tapi untuk perlawanan nanti, dia tidak bertugas sebagai pengadil perlawanan tapi FAM memberikan dia task dengan menetapkan dia di bahagian referee assessor.

"VAR ada tiga bahagian iaitu pengadil perlawanan, penolong pengadil perlawanan dan referee assessor," jelasnya.

Walaupun diberi kebebasan mengikuti latihan VAR, namun FAM masih belum membenarkan Zulkarnain untuk mengadili perlawanan seperti Liga Super dan Piala Malaysia.

"Untuk Liga Super, Zulkarnain masih belum boleh mengadili perlawanan Liga Super," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram