SETIAP manusia di muka bumi ini layak diberi peluang kedua sekiranya mereka sudah menginsafi kesalahan dan memperbaiki diri sendiri untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
Begitulah saranan yang diberikan pemerhati bola sepak tanah air, Dr Pekan Ramli ketika mengulas mengenai kelibat pengadil kontroversi Zulkarnain Zakaria apabila dilihat terlibat menjalani latihan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Nama Zulkarnain atau lebih dikenali sebagai ‘ref botak’ amat popular dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana sering terlibat dalam beberapa keputusan kontroversi ketika aksi Liga Super.
Antara insiden hangat yang menyebabkan Zulkarnain digantung daripada mengadili sebarang perlawanan bagi musim 2023 adalah ketika dia bertugas pada aksi Liga Super Sabah FC menentang Penang FC pada Mac lalu.
Pengadil tersebut difahamkan silap menginterpretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada pasukan The Rhinos pada minit ke-41 dan minit 90+9 pada perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Zulkarnain digantung daripada mengadili semua perlawanan Liga Malaysia 2023. — Facebook/Penang FC
Selepas beberapa bulan digantung, Pekan berpendapat bahawa Zulkarnain sudah menyedari semua kesilapan dan disebabkan itu penyokong tanah air juga perlu memberi semula peluang kepadanya.
"Semua hukuman itu dibuat dengan tujuan dia berubah menjadi lebih baik. Sepanjang tempoh penggantungan, dia sepatutnya dah menyedari semua kesilapan dia buat dan bila diberi peluang semula, kita harap dia berubah.
"Penyokong pun perlu beri peluang kepada pengadil untuk menunjukkan bahawa dia perlu membersihkan dirinya," katanya kepada Majoriti.
Tambah Pekan, sekiranya semua pihak hanya terus menghukum pengadil tersebut, ia juga secara tidak langsung menutup periuk nasi Zulkarnain untuk mencari sumber pendapatan daripada menyara keluarganya.
"Kalau kita nak kata dia tak boleh jadi pengadil ia adalah satu keputusan yang tak patut. Pengadil pun mengharapkan bahawa tugas itu sebagai satu pendapatannya, jadi tak boleh nak bunuh kariernya sebagai seorang pengadil.
"Sebagai peminat pun beri dia peluang supaya menginsafi dirinya dan membuktikan bahawa tuduhan sebelum ini yang mengatakan dia bias adalah tidak tepat sepenuhnya," tambahnya.
Zulkarnain (kanan) ketika dilihat menjalani latihan fasa kedua teknologi VAR. — Facebook/FAM
Sebelum ini Majoriti melaporkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan bahawa Zulkarnain sudah melalui penggantungan tersebut dan badan induk berkenaan juga sudah membuat sesi kaunseling dan latihan kecergasan kepadanya.
"Jawatankuasa Pengadil FAM memberi peluang untuk melepaskan penggantungan kerana mengambil kira bahawa dia merupakan seorang pengadil yang cukup pengalaman.
"Selepas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil, FAM memberi peluang kepada dia untuk mengadili liga-liga bawahan seperti Piala Presiden dan Piala Belia," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa kelibat Zulkarnain dalam latihan VAR tersebut adalah kerana badan induk tersebut memberikannya tugas di bahagian penilaian pengadil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram