[VIDEO] Pamer skil di negara sendiri, bekas bintang Hijau Kuning kembali bangkitkan rindu lama


  • Podium
  • Isnin, 04 Sep 2023

Skuad Sang Kenari dibarisi pemain bintang baik dari dalam mahupun luar negara pada musim lalu. — Facebook/KDA FC

SEPANJANG dua jendela perpindahan Liga Malaysia musim ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan yang sering berbelanja besar.

Langkah tersebut dibuat memandangkan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar terus mengharapkan supaya kelab Utara tanah air itu dapat terus berkembang, termasuk di peringkat antarabangsa.

Manuel Hidalgo, Ifedayo Olusegun serta Amirbek Juraboev merupakan antara nama-nama yang sempat dibawa masuk selepas kebolehan masing-masing cukup mencuri perhatian sebelum ini.

Tetapi, keputusan untuk membawa masuk pemain-pemain itu turut memaksa pihak pengurusan untuk menggugurkan sebilangan tonggak skuad bagi memberi ruang buat rekrut baharu, lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang hadir dari luar negara.

Salah seorang import yang terpaksa berpisah dengan skuad Sang Kenari ialah penyerang sayap kelahiran Jordan, Mahmoud al-Mardi meskipun dia mempunyai reputasi cukup baik bersama KDA FC.

1666202

Al-Mardi masih mempunyai tempat dalam hati penyokong skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Pemain yang tiba dari kelab Bahrain, Al-Muharraq pada Jun 2022 tersebut seperti tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan kebolehnnya di hadapan pintu gol sememangnya sukar dipersoalkan.

Dua gol dalam penampilan keduanya dalam Liga Super menentang Sarawak United merupakan antara bukti mengenai kebolehan pemain sayap berkenaan yang juga cukup selesa ketika beraksi sebagai perancang pasukan.

Selain itu, al-Mardi turut berkesempatan untuk mempamerkan kebolehannya di pentas Asia apabila mencetak hatrik ketika skuad Sang Kenari berdepan Visakha FC di peringkat kumpulan Piala AFC 2022.

Secara keseluruhan, pemain berusia 29 tahun tersebut mempunyai kebolehan serta reputasi cukup baik untuk terus memperkuatkan lagi jentera serangan KDA FC buat beberapa tahun lagi.

Bagaimanapun, perubahan pihak pengurusan serta barisan kejurulatihan menyaksikan pemain berkenaan dilepaskan untuk memberi ruang buat pemain baharu.

Keputusan itu menimbulkan persoalan memandangkan al-Mardi menjaringkan sembilan gol dan mencipta sembilan jaringan dalam 19 penampilan untuk kesemua pertandingan.

Jadi, untuk menyambung kariernya, pemain sayap itu memilih menyertai kelab berpangkalan di Kuwait, Qadsia SC sebelum kembali ke negara kelahirannya untuk bergandingan bersama Al Hussein SC.

Berdasarkan maklumat diperoleh, al-Mardi dikatakan terus cemerlang sepanjang berada di kedua-dua pasukan itu seperti mana dipamerkan semasa bersama-sama KDA FC.

Ini termasuk satu klip yang tular baru-baru ini memaparkan penyerang tersebut menjaringkan gol dalam aksi Liga Pro Jordan bertemu Al Salt pada pertengahan Ogos lalu.

Video berkenaan itu kemudiannya dikongsikan ke group Facebook KDA FC Fans serta menerima perhatian daripada ratusan penyokong Hijau Kuning.

Berdasarkan pemerhatian di ruangan komen, terdapat cadangan yang masih mengharapkan agar pemain itu dapat kembali agar boleh digandingkan di samping Hidalgo dan Ifedayo.

"Al-Mardi kalau berganding dengan Ifedayo memang mantap. Ambil baliklah Kedah kerana posisi sayap hanya berharap kepada Hidalgo sahaja. Perlu juga ada al-Mardi kerana kawalan bola dia bagus," kata Hisham Zainon.

"Harap Tan Sri bawalah semula al-Mardi untuk kembali. Dia pun nampaknya masih berharap nak main dengan Kedah lagi. Tahun lepas, dia datang terlalu sekejap," kata Zul Farid.

"Kalau kanan ada Hidalgo dan kiri ada al-Mardi, saya yakin KDA FC boleh pergi ke Bukit Jalil," tulis Fakhrul Hadi.

Skuad Sang Kenari perlu memenangi kesemua baki perlawanan, termasuk berdepan Selangor FC di laman sendiri untuk merebut slot ke Piala AFC musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram