PASUKAN kebangsaan akan terbang ke China bagi beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang tuan rumah dan Syira pada September depan.
Kehadiran Faisal Halim dijangka memberikan impak positif buat skuad Harimau Malaya meskipun baru selesai tempoh penggantungan selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Sudah mula turun beraksi menentang Kelantan FC pada Jumaat (25 Ogos), prestasi semasa Faisal dilihat tiada perbezaan meskipun tidak bermain selama sebulan.
Malah pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut yang menyaksikan Selangor membelasah Kelantan dengan keputusan 11-2 di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Faisal ketika ditemui media ketika majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2023.
Menurut Faisal, walaupun baru beraksi selama 45 minit bersama Selangor dia tetap akan bermain penuh semangat kerana itu tugasnya sebagai pemain bola sepak.
"Saya baru ada 45 minit permainan, orang lain dah bermain lima perlawanan sebelum ini. Tapi saya harap ia bukan satu masalah untuk diri saya.
"Saya cuba beri yang terbaik sebagai seorang pemain bola sepak, kerana ini kerja saya apa jua yang terjadi di belakang tadbir saya tetap kena teruskan perjuangan.
"Alhamdulillah saya akan buat yang terbaik dan buktikan kemampuan bersama skuad kebangsaan," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Pesta Bola Merdeka 2023.
Tambahnya lagi, dia berasa bersyukur kerana dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menyertai pasukan bagi beraksi menentang Syria dan China.
Pemain sayap Selangor itu juga berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk membuktikan kualitinya bersama pasukan kebangsaan.
Faisal bersama pemain Harimau Malaya lain turut melancarkan kejohanan Pesta Bola Merdeka 2023.
"Lega itu memang, satu rezeki juga, saya diberikan kekuatan oleh ahli keluarga serta rakan-rakan di Selangor dan rakyat Malaysia banyak menyokong saya.
"Itu semua keputusan dari pihak jurulatih atau pun FAM untuk memanggil saya, saya hanya bermain dan menunujukkan kualiti saya sekiranya saya layak saya berada di sini (skuad kebangsaan) jika tidak orang lain.
"Sudah tentu kita tahu Syria dan China bukan pasukan yang lemah mereka pasukan yang baik kita Malaysia di landasan terbaik.
"Kami memerlukan sokongan daripada rakyat Malaysia dan berharap pemain berada dalam keadaan terbaik untuk perlawanan kali ini.
Malaysia bakal memulakan perlawanan persahabatan menentang Syria pada 6 September manakala China pada 9 September depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram