KEGAGALAN skuad B-23 Malaysia dalam kejohanan Piala AFF B-23 untuk meraih tempat ke perlawanan akhir mengundang kecaman hebat penyokong.
Sasaran penyokong bukanlah terhadap pemain, pada mereka, barisan yang diturunkan telah melakukan yang sebaiknya untuk cuba memenangkan Malaysia.
Namun begitu, kecaman hebat ditujukan kepada pengendalinya, E. Elavarasan yang dianggap sudah gagal dalam dua tugasan bersama-sama skuad muda negara.
Sebelum ini, Elavarasan juga gagal membawa hasil positif ketika tugasan Sukan SEA Kemboja apabila Harimau Muda terkandas di peringkat kumpulan acara bola sepak.
Kini bakal berdepan tugasan lebih getir iaitu kelayakan Piala Asia B-23, penyokong skuad kebangsaan tidak lagi mahukan Elavarasan mengemudi pasukan. Pada hemat mereka, Malaysia akan mengharungi satu lagi kegagalan jika tiada perubahan dilakukan.
Harimau Muda akan ke Thailand sekali lagi untuk tugasan kelayakan Piala Asia B-23. — Facebook/FAM
Sudah kedengaran suara-suara yang mahukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggunakan jurulatih dari luar negara untuk membolehkan kejayaan yang dinikmati skuad senior turut dirasai Harimau Muda.
Ada penyokong yang mencadangkan ada FAM mencari pengendali dari negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun atau Brazil untuk menguatkan skuad muda negara.
Malah, ada juga yang mencadangkan untuk mendapatkan bekas pengendali Vietnam iaitu Park Hang-seo untuk melatih Harimau Muda.
Hang-seo yang sebelum ini menjadi mimpi ngeri Harimau Malaya pernah menjadi pengendali untuk skuad senior Vietnam dan B-23 mereka secara serentak.
Melihat kepada ketegasan dan karisma Hang-seo sebagai pengendali, ada penyokong yang mahukan dia mengendalikan skuad muda negara kita pula.
Park Hang-seo dianggap legenda dalam bola sepak Vietnam. — Facebook/AFC
"Bagi jurulatih Korea Selatan yang latih senang nak link dengan Kim Pan-gon," kata penyokong bernama Zul Fadlie.
"Kalau (jurulatih dari) Korea Selatan atau Jepun yes lah. Tapi kalau jurulatih tempatan hmm," komen Abdul Rahim Rubi.
"Wajib tukar jurulatih. Ambil jurulatih daripada Korea Selatan, Jepun atau Brazil," komen Abd Aziz.
"Lantik Park Hang-seo jadi jurulatih skuad B-23 Malaysia," cadang Seniman Desa.
Harimau Muda akan berdepan Thailand, Filipina dan Bangladesh dalam misi untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23.
Pusingan akhir kejohanan tersebut akan diadakan pada 2024 dengan Qatar bakal menjadi tuan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram