Sang Kenari berjaya ikat seri JDT, tapi fans risau aksi gugup anak jati


  • Podium
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Pemain skuad Sang Kenari meraikan gol penyamaan Amirbek di hadapan ribuan penyokong sendiri. — Facebook/KDA FC

PERSEMBAHAN cukup mendebarkan disajikan buat penyokong bola sepak tanah air ketika pertemuan Liga Super antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Utara tanah air pada Sabtu.

Kejutan tercetus kurang 10 minit daripada rehat separuh masa pertama apabila penyerang tuan rumah, Ifedayo Olusegun menjaringkan gol mudah menerusi tandukan.

Jaringan itu menghangatkan suasana di Stadium Darul Aman, Kedah apabila penyokong Hijau Kuning tidak dapat mempercayai kebolehan pasukan untuk meruntuhkan benteng pertahanan pendahulu Liga Super itu.

Bersambung babak kedua, asakan demi asakan dibuat KDA FC sekali lagi membuahkan hasil dengan kapten pasukan, Manuel Ott tenang melorongkan bola ke gawang gol, menumpaskan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.

Tetapi, kegembiraan itu tidak berkekalan apabila skuad Harimau Selatan merapatkan jurang menerusi gol bek kiri mereka Corbin Ong yang mengambil kesempatan di sebalik situasi kelam-kabut dalam kotak penalti tuan rumah.

370484825_335808235467027_8322271976063255882_n

Ifedayo (kiri) membuka jaringan di Stadium Darul Aman, Kedah pada Sabtu. Facebook/KDA FC

Empat minit kemudian, pemain serta penyokong JDT sekali lagi bergembira apabila peledak berbisa mereka, Heberty Fernandes mengikat semula kedudukan selepas menerima umpanan cantik daripada rakan senegaranya, Bergson da Silva.

Gol berkenaan jelas meruntuhkan moral dan fokus pemain KDA FC yang terpaksa bekerja keras sekali lagi untuk mendapatkan semula kelebihan.

Namun, cita-cita mereka untuk berada di hadapan sekali lagi tidak kesampaian apabila penyerang sayap skuad Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi mencetuskan momen magisnya tersendiri menerusi satu gol cantik setelah menggelecek kira-kira lima pemain lawan.

Kedudukan tersebut kekal memasuki minit-minit akhir permainan dengan JDT memilih untuk bertahan sedaya upaya untuk memastikan kemenangan milik mereka.

Tetapi, pemain gantian KDA FC, Amirbek Juraboev muncul sebagai wira buat skuad Sang Kenari apabila dia menjaringkan gol penyamaan beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup setelah menerima hantaran Manuel Hidalgo.

371805409_866977331464911_6078805834677474311_n

Arif Aiman meletakkan JDT di hadapan menerusi satu gol cantik yang mengelirukan benteng pertahanan lawan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Meskipun hanya mencatatkan keputusan seri, penyokong Hijau Kuning masih memilih untuk meraikannya memandangkan mereka merupakan pasukan pertama yang mencuri mata daripada JDT musim ini.

Oleh itu, untuk mengetahui resipi di sebalik perlawanan berkenaan, pelbagai analisis dibuat terhadap gaya permainan KDA FC yang tidak henti-henti memberi tekanan buat pendahulu Liga Super itu.

Antara yang tidak mahu ketinggalan memberikan pandangannya ialah peminat bola sepak tempatan, Hafiz Mansor yang memberi ulasan terperinci menerusi satu hantaran di Facebook Analisis Tangga Ayam.

Berdasarkan penulisan yang diterbitkan pada Ahad, percaturan taktikal daripada ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain adalah kunci di sebalik keputusan menakjubkan itu.

"Nafuzi merombak formasi dengan dua pemain berperanan sebagai no 6 di bahagian tengah menjadikan struktur Kedah 4-2-3-1 mid block.

371310408_335809248800259_4728635762896010318_n

Nafuzi melakukan beberapa pertukaran buat pasukannya dari segi pemilihan pemain. Facebook/KDA FC

"Maksudnya, Nafuzi mengambil pendekatan sedikit berisiko untuk bermain secara seimbang dan tidak terlalu bertahan sebagaimana yang diperkatakan ramai sebelum perlawanan," tulisnya.

Dalam perlawanan itu, jurulatih kelahiran Kelantan itu memilih untuk menggandingkan Amirul Hisyam Awang Kechik dan Moses Atede untuk menyekat serangan bertali-arus JDT.

Pendekatan berkenaan jelas membuahkan hasil apabila mereka berjaya menghidu hantaran berbahaya pihak lawan, sekali gus mematahkan serangan di peringkat awal.

Selain itu, kecemerlangan secara individu daripada sebilangan pemain diturunkan turut memberikan impak positif, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Antara yang beraksi dengan cukup baik ialah penjaga gol Sang Kenari, Ifwat Akmal Chek Kassim yang menafikan dua situasi satu lawan satu ketika berdepan Arif Aiman dan Bergson.

371503015_335821055465745_5821407132092671109_n

Hidalgo memainkan peranan cukup penting dengan mencipta tiga bantuan jaringan. Facebook/KDA FC

Hidalgo turut memberikan suntikan berbeza dalam perlawanan itu apabila terlibat dalam kesemua jaringan, termasuk hantaran leret mengelirukan pada minit-minit akhir permainan.

"Gol kedua Kedah sekali lagi menggambarkan permainan progresif Kedah. Kombinasi visi dan hantaran Hidalgo serta larian lolos Ott ke ruangan hadapan sebelum meledak untuk tambahan jaringan.

"Ketika banyak penulisan kita memperkatakan soal kreativiti, pergerakan dan penetration yang longgar, jentera serangan semalam menepis semua kritikan dengan gol-gol berkualiti," ujarnya lagi.

Di sebalik pujian yang diberikan kepada pasukan Kedah, ada kritikan dilontarkan kepada pemain sayap, Fayadh Zulkifli yang dirasakan agak gugup ketika aksi menentang JDT.

"Keseluruhan semua terbaik kecuali Fayadh yang masih passing ke belakang time tengah attack," kata Tancik Mohd Noor.

"Sentuhan Fayadh hilang. Tak berani take on sebab itu bila nak buat tak lepas. Musim depan kena cepat cari pemain tempatan yang ada kualiti nak cover department ni," ulas Nizam Abu Seman.

"Selain pas belakang, lorongan yang dia cuba buat banyak kali gagal. Agak beza performance sebelah kiri selepas Partiban dikeluarkan," kata Mohd Aimullah.

KDA FC ketika ini berada dalam landasan terbaik untuk merebut slot ke Piala AFC musim depan memandangkan mereka hanya dibezakan lima mata dengan pasukan di tangga kedua Liga Super, Selangor FC.

Selain mempunyai kelebihan satu perlawanan, pasukan Utara tanah air itu juga tidak berada dalam tekanan hebat apabila mereka hanya perlu fokus terhadap saingan Liga Super selepas tersingkir daripada Piala Malaysia tempoh hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram