Legenda Sang Kenari puji sikap 'gentleman' Solari, pemain Kedah dijanjikan bonus selepas ikat JDT


  • Podium
  • Ahad, 27 Ogos 2023

Nafuzi Zain melakukan sujud syukur selepas berjaya mengikat JDT di halaman sendiri pada Sabtu. — Facebook/KDA FC

PENGENDALI Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari menganggap keputusan seri yang dicatat anak buahnya ketika berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebagai satu pengajaran yang berharga.

Hasrat Harimau Selatan untuk berpesta dengan mengesahkan kejuaraan ke-10 berturut-turut tertangguh selepas keputusan seri 3-3 menentang Sang Kenari pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu.

Solari mengakui perlawanan tersebut merupakan aksi yang sukar buat anak-anak buahnya kerana pasukan lawan bermain dengan cukup baik.

Jurulatih kelahiran Argentina itu juga, menganggap keputusan seri itu sebagai satu peringatan buat pemain-pemainnya untuk tidak memandang rendah dengan keupayaan lawan.

"Ini juga bagus untuk kami terus merendah diri dan ketahui bahawa bola sepak itu apabila kita tidak bermain 100 peratus ia akan membuat kita menderita.

"Satu perlawanan yang sukar kerana Kedah bermain dengan cukup baik. Kita bermula lemah di separuh masa pertama. Saya kira ini pengajaran yang bagus buat kami untuk sedar bahawa setiap perlawanan itu sukar," katanya.

WhatsApp Image 2023-08-27 at 4.22.42 PM

Azraai memuji tindakan Solari yang tetap merendah diri.

Keperibadian dan sikap 'gentleman' yang ditunjukkan Solari selepas tamat perlawanan itu turut mendapat pujian daripada bekas pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah di ruangan komen Facebook Johor Southern Tigers.

"Seorang jurulatih yang merendah diri dengan aura positif, turut dihormati oleh jurulatih lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Khamal Idris Ali mengesahkan para pemain dan jurulatih pasukan itu bakal diberikan bonus selepas berjaya mengikat JDT pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.

Khamal mengakui terkejut dengan persembahan skuad kendalian Nafuzi Zain dan Kedah merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mencatat keputusan seri ke atas juara bertahan Liga Super itu.

371353257_335794502135067_12664943806641866_n

Pemilik Kedah, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar (tengah) dan Khamal Idris turut menyaksikan perlawanan di antara Kedah dan JDT. Facebook/KDA FC

Menurutnya, walaupun ia berakhir dengan keputusan seri namun pihaknya tetap memberikan bonus sebagai motivasi tambahan untuk pemain mengekalkan momentum pada perlawanan seterusnya.

"Memang kalau menentang JDT ada bahagian berbeza dari pasukan-pasukan lain. Selalunya kita bagi bonus jika pasukan menang sahaja tetapi untuk malam ini bonus kita bagi juga walaupun seri.

"Mereka bermain dengan berdisiplin dan mengikut arahan dengan baik. Terkejut juga la dengan prestasi pemain. Alhamdulillah, kita dapat hasil yang baik,” kata Khamal dalam sidang media selepas tamat perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram