SELEPAS tewas 0-10 kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia minggu lalu, Kelantan FC terus menjadi pasukan belasahan apabila kalah 2-11 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC mencatatkan rekod bolos terburuk apabila melepaskan 87 jaringan sepanjang 21 perlawanan Liga Super musim ini.
Namun, tidak bagi Selangor apabila ini merupakan kemenangan terbesar mereka sejak empat musim lalu.
Ini kerana sejak 2020, bukan The Red Warriors saja yang pernah menjadi mangsa ratahan Gergasi Merah.
Majoriti senaraikan empat pasukan yang pernah menjadi mangsa belasahan Selangor sejak musim 2020 sehingga 2023:
Rufino berjaya meledak gol ketujuh buat Selangor ketika membenam PDRM 7-0 pada 2020. — Selangor FC
1. Liga Super 2020 (PDRM 0-7 Selangor)
Selangor pernah membuat kejutan apabila menewaskan PDRM 7-0 dalam saingan Liga Super 2020 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 Oktober 2020.
Sean Selvaraj muncul pemain terbaik pada perlawanan itu selepas menjaringkan dua gol dan turut menyumbang tiga bantuan jaringan.
Ifedayo Omosuyi turut meledak dua gol sementara satu gol daripada Brendan Gan, Safuwan Baharudin dan Rufino Segovia.
Ia adalah kemenangan terbesar yang dicatatkan oleh Selangor selepas mendiang B. Sathiananthan dipecat sebagai jurulatih pasukan.
Ifedayo menjaringkan hatrik ketika menewaskan Sabah 6-0 di Stadium Likas pada 2021. — Selangor FC
2. Liga Super 2021 (Sabah 0-6 Selangor)
Mesti anda penyokong Selangor tidak percaya bahawa Selangor pernah membenam Sabah dengan enam jaringan gol tanpa balas.
Tetapi itulah realitinya yang mana ketika itu, hatrik Ifedayo Olusegun membantu Selangor berpesta gol di Stadium Likas, Sabah.
Mukhairi Ajmal, Nor Hakim Hassan dan Danial Asri menambah derita The Rhinos sehingga tamat masa perlawanan.
Malah, sumpahan bekas pemain Selangor Amri Yahyah yang menyatakan skuad Gergasi Merah tidak akan berjaya raih kemenangan pada perlawanan Liga Super menentang pasukan yang diwakili oleh pemain veteran itu seolah-olah tidak terjadi ketika itu.
Alif Haikal meraikan jaringan ketujuh Selangor ke atas Sarawak United pada 2022. — MFL
3. Liga Super 2022 (Selangor 7-0 Sarawak United)
Kemenangan Gergasi Merah ke atas Sarawak United ini sangat menarik kerana kapten Selangor FC Brendan Gan, kembali bersama pasukan selepas setahun menghadapi kanser.
Brendan menjadi pencetus kemenangan besar 7-0 skuad Gergasi Merah ke atas Sarawak United dalam aksi Liga Super pada 19 Jun 2022.
Pemain berusia 34 tahun itu memulakan kenduri gol seawal minit ketujuh sebelum or Nor Hakim Hassan, Aliff Haiqal dan Hyuri Henrique menambah derita Sarawak United.
Lebih menarik lagi bekas pemain import Selangor, Herlison Caion berjaya menjaringkan hatrik pertama bersama Gergasi Merah musim itu.
Ayron dan Boakye menjaringkan hatrik ketika membelasah Kelantan dengan keputusan 11-2 pada Jumaat. — MFL
4. Liga Super 2023 (Kelantan 2- 11 Selangor)
Selangor mencipta rekod baharu Liga Super apabila menang besar, 11-2 mengatasi Kelantan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
Kekalahan itu turut menyaksikan rekod bolos terbesar ketiga The Red Warriors (TRW) selepas tewas 0-8 kepada Terengganu (14 Ogos 2023) dan 0-10 menentang JDT pada 19 Ogos lalu dalam saingan Liga Malaysia.
Dua pemain Selangor berjaya melakarkan jaringan hatrik iaitu Ayron Del Valle (empat gol) dan Richmond Boakye-Yiadom.
Kembalinya Faisal Halim selepas digantung selama satu bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya memberikan tonik tambahan buat Gergasi Merah apabila dia menjaringkan dua gol.
Baki dua gol lagi dijaringkan oleh Yohandry Orozco dan Shahrul Nazeem sekali gus berjaya merekodkan 11 jaringan dalam satu perlawanan musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram