
MESKIPUN kekal berada dalam kemelut tersendiri, Terengganu FC masih boleh melakar senyuman apabila mereka diletakkan dalam kumpulan yang boleh diterima untuk kempen Piala AFC yang akan datang.
Bali United (Indonesia), Stallion Laguna (Filipina) dan Central Coast Mariners (Australia) merupakan pasukan yang bakal dihadapi skuad Sang Penyu dengan masing-masing dilihat mempunyai kebolehan tersendiri.
Namun, kekuatan Terengganu FC juga pastinya tidak boleh dipandang rendah memandangkan mereka kini berada dalam prestasi lebih baik berbanding awal musim lalu.
Dalam lima perlawanan terakhir Liga Super, pasukan Pantai Timur itu berjaya mengumpul lapan mata tanpa sebarang kekalahan dicatatkan sepanjang tempoh itu.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga dilihat cukup mudah menempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan kelab Liga M3, Kuala Lumpur (KL) Rovers dengan agregat 7-0.
Jadi, melihat kepada prestasi itu, terdapat kemungkinan besar bahawa naib juara Liga Super 2022 tersebut mampu melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFC kali ini.
Ketiadaan Adisak bersama skuad Sang Penyu menimbulkan 1,001 persoalan. — Facebook/Terengganu FC
Untuk merealisasikan hasrat itu, persediaan rapi perlu dibuat dalam usaha memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam tahap terbaik.
Bagaimanapun, baru-baru ini, terdapat satu persoalan menarik yang ditimbulkan penyokong skuad Sang Penyu apabila mereka menyedari penyerang import, Adisak Kraisorn tidak berada di padang latihan.
Untuk rekod, pemain kebangsaan Thailand terbabit sudah tidak lagi diturunkan sejak aksi Liga Super antara Terengganu FC dan PDRM FC 16 Julai lalu.
Kehilangannya bagaimanapun tidak terlalu dirasai memandangkan seorang lagi penyerang, Ivan Mamut berjaya menampilkan aksi terbaik dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Tetapi, dengan Adisak tidak lagi kelihatan dalam perlawanan mahupun sesi latihan, ia pastinya mewujudkan persoalan mengenai kontraknya bersama skuad Sang Penyu.
Kelibat Tomislav tidak kelihatan dalam foto yang dikongsikan di padang latihan Terengganu FC baru-baru ini. — Facebook/Terengganu FC
Lebih mengejutkan lagi, tinjauan orang ramai terhadap foto yang dikongsikan di laman media sosial kelab baru-baru ini turut mendapati ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner tidak bersama-sama mereka.
"Coach Tomi pergi mana? Nampak seperti pembantunya, Ivica Vranjes dan coach Badrul Razali sahaja yang mengambil alih sesi latihan," soal Wan Azhan.
"Adisak tiada, coach Tomi pun tidak nampak? Ada dengar yang coach balik Croatia sebab nak jumpa keluarganya, betul ke?" kata Karim Ghafar pula.
Berdasarkan perkongsian pengurus Terengganu FC, Fadhil Wahab sebelum ini, jurulatih berusia 56 tahun itu terpaksa pulang ke tanah kelahirannya atas hal keluarga.
Ketiadaannya juga akan memberi kesan memandangkan skuad Sang Penyu akan berdepan Kuching City FC dalam perlawanan ke-21 Liga Super tanpa kelibatnya di kawasan teknikal.
Namun, perkara berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap kontrak antara Tomislav dengan kelab itu apabila kontraknya masih berbaki sehingga penghujung musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram