PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (REFF), Luis Rubiales, menimbulkan kontroversi besar selepas dirakam mencium bibir pemain apabila kemenangan Piala Dunia memihak kepada Sepanyol.
La Roja menewaskan England 1-0 untuk menjadi juara dunia di Stadium Australia dengan kapten, Olga Carmona menjaringkan gol tunggal perlawanan itu.
Rubiales yang berusia 45 tahun itu memeluk beberapa pemain Sepanyol di atas pentas semasa majlis penyerahan pingat berlangsung.
Namun selepas memeluk Jenni Hermoso pemain dari CF Pachuca itu, Rubiales memegang kepalanya dan mencium bibir bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain tersebut.
Ramai peminat meluat dengan adegan berkenaan dan Hermoso sendiri memberitahu TV Sepanyol bahawa dia tidak menyukai tindakan Presiden REFF itu.
Hermoso bagaimanapun berhasil mengatasi kejadian itu dengan menzahirkan perasaan gembiranya selepas kemenangan bersejarah berkenaan.
"Ia adalah perasaan terbaik dalam hidup saya. Kami mendedikasikannya kepada semua keluarga kami dan penduduk di Sepanyol, kerana kami telah bermain bola sepak seperti yang kami mahukan.
“Kami telah memenangi Piala Dunia, kami adalah juara dunia. Kami telah bermain bola sepak seperti yang kami mahukan,” katanya.
Hermoso terlepas sepakan penalti dalam perlawanan itu tetapi Sepanyol bertahan untuk menang menerusi jaringan Carmona pada separuh masa pertama. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram