Ramalan 3 aksi timbal balik Piala Malaysia 2023


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Skuad Sang Kenari dijangka mampu membuat kejutan pada aksi kali ini dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. — Facebook/KDAFC

SELEPAS kesemua lapan perlawanan pembukaan Piala Malaysia berlangsung awal bulan lalu, aksi timbal balik akan berlangsung untuk memastikan pasukan manakah yang akan meneruskan kemaraan mereka.

Melihat kepada kesemua pertembungan sebelum ini, beberapa keputusan cukup mengejutkan diterima penyokong bola sepak tanah air.

Tetapi, dengan masih terdapat 90 minit permainan akan berlangsung, pasukan-pasukan yang sedang ketinggalan pastinya akan mencuba segala pendekatan dalam aksi minggu ini.

Bagi penyokong, mereka pastinya sudah tidak sabar untuk menyaksikan persembahan yang bakal disajikan dalam usaha pihak kejurulatihan mencipta kejutan bermakna.

Melihat kepada jadual Piala Malaysia, terdapat tiga aksi yang bakal berlangsung pada Jumaat dengan perlawanan-perlawanan itu akan diadakan di Terengganu, Kuala Lumpur dan Kedah.

Jadi, tidak salah untuk Majoriti memberikan ramalan mereka untuk mengenal pasti pasukan yang akan meraih kemenangan, sekali gus memastikan kemaraan milik mereka dalam Piala Malaysia edisi ke-102.

Berikut merupakan ramalan daripada tiga wartawan sukan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, Rahmi Jumriati Jono dan Frezella Amil bagi kedua-dua aksi terbabit:

Terengganu vs Kuala Lumpur Rovers

Ivan

Kemenangan pastinya mampu diraih skuad Sang Penyu dengan Ivan Mamut mempunyai peluang untuk menggegarkan gawang lawan. — Facebook/TFC

Zikry Marzuki — Ubi muda gegarkan gawang

Bekalan empat gol yang diperoleh ketika beraksi sebelum ini memberi satu keselesaan buat skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner apabila beraksi di laman sendiri.

Kelebihan tersebut akan memberikan kelonggaran buat jurulatih kelahiran Croatia itu untuk menurunkan pemain lebih muda ketika menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) Rovers.

Ubaidullah Shamsul, Hakimi Abdullah dan Rahadiazli Rahalim pastinya akan diberikan minit permainan memandangkan skuad Sang Penyu memerlukan rehat yang mencukupi untuk aksi Liga Super akan datang.

Bagaimanapun, ubi-ubi muda Terengganu FC pastinya akan menjadi satu cabaran buat KL Rovers yang seperti sudah berputus asa dengan saingan Piala Malaysia kali ini.

Kemenangan 3-0 pastinya mampu diraih skuad Sang Penyu dengan Nik Sharif Hassefy, Ivan Mamut dan Hakimi Isa mempunyai peluang untuk menggegarkan gawang lawan.

Frezella Amil — Ivan Mamut bakal meledak lagi

Kelebihan empat gol yang diraih oleh Terengganu FC sebelum ini sedikit memberi keselesaan kepada skuad Sang Penyu apatah lagi akan beraksi di laman sendiri.

Pasukan kendalian Tomislav pastinya mampu memberikan saingan kepada wakil Liga M3, Kuala Lumpur Rovers yang pasti akan berputih mata dengan keputusan di tempat lawan itu.

Jaringan kemenangan 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu pastinya dicetak oleh penyerang utama Sang Penyu, Ivan Mamut.

KL City vs Penang FC

KL

KL City FC dijangka akan memilih untuk bertahan sepanjang 90 minit permainan di hadapan penonton sendiri. — Facebook/KLCity

Zikry Marzuki — KL boleh menang 3-1

Selain Terengganu FC, KL City FC turut memiliki kelebihan untuk aksi timbal balik selepas membenam Penang FC di tempat lawan sebelum ini.

Kemenangan 4-0 yang diraih skuad Warga Kota ketika beraksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 3 Ogos lalu seolah-olah memberi kelegaan buat pasukan Lembah Klang itu.

Jadi, dalam perlawanan kedua yang akan diadakan di Stadium Cheras, KL pada Jumaat, pasukan kendalian Nenad Bacina itu pastinya akan memilih untuk mencari pendekatan baharu.

Di samping cuba untuk menurunkan pemain lebih muda, KL City FC dijangka akan memilih untuk bertahan sepanjang 90 minit permainan di hadapan penonton sendiri.

Berdasarkan keupayaan kedua-dua pasukan, KL City FC diramal mampu meraih kemenangan 3-1 dengan Romel Morales merupakan salah seorang yang berpotensi untuk meraih jaringan.

Rahmi Jumriati — Kelebihan beraksi di laman sendiri

KL City FC turut memiliki bekalan yang cukup untuk aksi timbal balik selepas dengan mudah menewaskan Penang FC sebelum ini.

Kelebihan beraksi di laman sendiri pastinya akan membakar lagi semangat skuad The City Boys untuk meledak gol.

Perlawanan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras itu akan menyaksikan Warga Kota meraih kemenangan yang berpihak kepada tuan rumah.

Romel Morales antara penjaring untuk pasukan The City Boys dengan kemenangan enam gol yang dicetak.

Kedah Darul Aman FC (KDAFC) vs Perak FC

perak KDA

Skuad Sang Kenari menerima keputusan mengejut dalam aksi awal Piala Malaysia yang lalu selepas tewas 1-3 kepada Perak FC di tempat lawan. — Facebook/PerakFC

Zikry Marzuki — Cabaran sukar buat Kedah

Skuad Sang Kenari menerima keputusan mengejut dalam aksi awal Piala Malaysia yang lalu selepas tewas 1-3 kepada Perak FC di tempat lawan.

Kedua-dua kelab itu mempunyai jurang cukup besar dalam carta Liga Super musim ini dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC terus bergaya dalam kelompok lima pasukan teratas.

Tetapi, tiga gol yang dijaringkan Perak FC sebelum ini memberikan satu cabaran buat skuad kendalian Nafuzi Zain untuk mara ke peringkat suku akhir.

Hal itu akan menyebabkan mereka cuba untuk bermain dengan taktikal serangan apabila dua gol tanpa balasan akan mampu memberikan mereka tempat ke suku akhir Piala Malaysia.

Tetapi skuad The Bos Gaurus (TBG) diramal mempunyai kelebihan untuk aksi di Stadium Darul Aman, Kedah apabila mereka akan cuba untuk memastikan keputusan akhir terikat tanpa jaringan.

Frezella Amil — Tekanan buat skuad Nafuzi

Dalam pusingan pembukaan Piala Malaysia, skuad Sang Kenari dikejutkan dengan kebangkitan mengejut Sang Seladang yang dengan mudah menewaskan pasukan Hijau Kuning tersebut.

Keputusan 1-3 di laman pihak lawan sebelum ini memberikan tekanan kepada skuad kendalian Nafuzi Zain.

Namun begitu, bermain di hadapan penyokong sendiri akan memberi kelebihan kepada Sang Kenari.

Oleh itu, Kedah FC diramal akan meraih kemenangan 2-1 namun keputusan agregat berpihak kepada skuad TBG. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram