Tak sabar kembali beraksi di posisi lama, The City Boys ada senjata 'rahsia' benam Harimau Kumbang


  • Podium
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Sebahagian aksi sesi latihan barisan pemain KL City FC dalam persediaan menghadapi Penang FC. — Instagram/klcityfootball

PEMAIN versatil Kuala Lumpur (KL) City FC, D. Kenny Pallraj bakal kembali ke atas padang dengan membawa misi membalas dendam.

Pemain kelahiran Perak dilihat berada dalam sesi latihan KL City dijangka akan menampilkan satu persembahan agresif ketika menentang Penang FC dalam aksi timbal balik Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Kemenangan 4-0 yang diraih oleh skuad Warga Kota ketika beraksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 3 Ogos lalu sedikit memberi kelegaan buat pasukan Lembah Klang itu.

Kenny, 30, merupakan pemain yang sesuai menggalas tanggungjawab sebagai perancang untuk membantu pasukan itu, selain mempunyai kelebihan bermain di bahagian tengah bertahan.

Sepanjang musim ini, pemain berketinggian 1.81 meter itu sering dipertanggungjawabkan sebagai bek tengah tetapi difahamkan Ketua Jurulatih, Nenad Bacina memerlukan pemain yang agresif untuk menggalas tugas menentang Harimau Kumbang.

Kenny dijangka digandingkan dengan Dane Sebastian Avanzini atau Akram Mahinan untuk beraksi di bahagian tengah.

Kenny berkata, dia tidak sabar untuk bermain dalam posisi biasa semula.

"Ia tidak akan menjadi masalah untuk saya kembali ke bahagian tengah kerana saya telah bersama pasukan ini selama hampir tiga tahun sekarang. Saya juga pernah bekerja di bawah jurulatih Nenad sebelum ini," kata pemain yang pernah membantu KL City menjuarai Piala Malaysia 2021.

"Kami mempunyai kelebihan besar menentang Penang FC tetapi kami tidak boleh leka dan bermain dengan matlamat untuk menang," kongsinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram