Import Asia segera jadi kesayangan, bantu letakkan Liridon di bangku simpanan Sang Penyu


  • Podium
  • Jumaat, 11 Ogos 2023

Liridon tidak lagi memulakan permainan dengan kerap sejak kehadiran Nurillo pada pertengahan musim lalu. — Facebook/Terengganu FC

JENDELA perpindahan kedua Liga Super menyaksikan Terengganu FC membawa masuk dua pemain baharu, iaitu Nor Hakim Hassan dan Nurillo Tukhtasinov.

Kemasukan kedua-dua mereka dijangka akan memberi satu kelainan buat jentera serangan skuad Sang Penyu yang sedikit bergelut meskipun perbelanjaan mewah dibuat awal musim lalu.

Harapan tersebut segera direalisasikan Nor Hakim yang mengumumkan kepulangan ke negeri kelahirannya dengan gol debut ketika berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di tempat lawan pada 7 Julai lalu.

Bagaimanapun, situasi berbeza dihadapi Nurillo yang membuat penampilan pertamanya bersama Terengganu FC di Stadium MBPJ, Selangor pada 16 Julai ketika berdepan PDRM FC.

Selain gagal memberikan impak, pemain berusia 26 tahun berkenaan seperti bergelut untuk mencipta keserasian dengan rakan sepasukan sepanjang 86 minit di atas padang.

Penampilan itu menyebabkan segelintir penyokong Sang Penyu mula mempertikaikan kebolehannya, lebih-lebih lagi apabila dia mempunyai reputasi cukup besar di Uzbekistan.

Namun, selepas diberikan lebih banyak minit permainan, Nurillo berjaya menambat hati rata-rata peminat setia kelab Pantai Timur itu.

366327277_274559778618797_3477459624495814436_n

Nama Nurillo (kanan) terus meniti di bibir rata-rata penyokong Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Walaupun masih belum mencatatkan sebarang pulangan di hadapan pintu gol lawan, kebolehannya untuk mengawal tempo serangan pasukan wajar diberikan pujian sepatutnya.

Penghargaan ke atasnya dapat dibuktikan menerusi tinjuan Majoriti di ruangan komen sebuah hantaran di Facebook rasmi kelab berkenaan baru-baru ini yang dikhaskan buat Nurillo.

"Nurillo atau juga dikenali sebagai (Zinedine) Zidane, ada kebolehan untuk melakukan hantaran cantik. Kalau tubuh lebih berisi, akan lebih selesa bahagian tengah Terengganu FC," kata Faizwan Faez.

"Pengubah musim dan permainan pasukan. Sebelum ini, nampak sedikit bermasalah, tetapi sekarang nampak banyak penambahbaikan di bahagian tengah," ujar Hafiq Din.

"Nurillo sering dijadikan sasaran bentesan pihak lawan seperti perlawanan menentang KL Rovers baru-baru ini. Kalau dimasukkan Liridon (Krasniqi), akan kembali ke gaya permainan dahulu nampak gayanya," kata Joe Izzact.

Sebelum ini, pemain kebangsaan Uzbekistan itu dibawa masuk yang menyaksikan seorang lagi pemain import, Domagoj Pusic terpaksa ditamatkan kontraknya.

Kehadirannya itu menerima satu respons cukup baik memandangkan Nurillo mempunyai nilai pasaran mencecah RM4.03 juta (€800,000) berdasarkan laman web transfermarkt.com.

Di samping itu, keputusan untuk mendapatkan pemain berketinggian 1.72 meter itu turut disokong memandangkan dia dibawa masuk untuk memperbaiki masalah kreativiti di bahagian tengah dengan Liridon sering diletakkan di posisi berkenaan.

Sejak kehadiran Nurillo, kebergantungan Tomislav terhadap pemain naturalisasi negara tersebut tidak lagi berterusan apabila bekas jeneral tengah Kedah FA itu hanya mengumpul minit permainan dari bangku simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram