Tak senang duduk, pemain import baharu Kelantan ‘panas’ tengok game lawan Negeri Sembilan


  • Podium
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Rolon meraikan jaringannya bersama pemain Kelantan yang lain. — MFL

KELANTAN FC akhirnya berjaya meraih kemenangan kedua dalam Liga Super selepas lima bulan apabila berjaya menundukkan Negeri Sembilan FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Walaupun tempang tanpa kehadiran empat pemain import baharu, Kelantan FC tetap bersemangat memburu kemenangan di gelanggang sendiri.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk menceriakan penyokong The Red Warriors (TRW) apabila Leonardo Rolon menjaringkan gol pertama perlawanan seawal minit kedua permainan.

Sebelum tamat separuh masa kedua, Rolon sekali lagi membolosi gawang gol Negeri Sembilan melepaskan rembatan jarak jauh yang terkena pertahanan lawan sebelum menerjah jaring.

Namun apa yang lebih menarik ialah kamera dapat merakam gelagat empat pemain import baharu Kelantan yang turut sama-sama menyaksikan perlawanan itu.

Keempat-empat pemain import itu dilihat seperti tidak sabar untuk turun beraksi bersama pasukan Kelantan walaupun sudah mula turun berlatih bersama TRW.

Pemain import Kelantan sedang menyaksikan perlawanan menentang Negeri Sembilan. — Facebook

Kelantan sebelum ini mengumumkan nama empat pemain import baharu iaitu ialah Dennis Buschening yang pernah beraksi bersama UiTM FC dan Kedah Darul Aman pada musim 2022.

TRW turut menandatangani pemain pertahanan dari Mesir, Ahmed Magdy serta seorang penjaga gol dari Iran, Aliakbar Ahmadi dan Alie Sesay turut menyertai Kelantan.

Meskipun sudah mengumumkan nama pemain import baharu itu, Angel Alfredo Vera masih belum dapat menurunkan empat pemain import baharu kerana dipercayai tidak mendapat sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain import.

Namun begitu, kemenangan itu dilihat tonik terbaik buat anak-anak buah Alfredo Vera untuk bertemu Terengganu FC pada 14 Ogos ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram