PILIHAN Raya Negeri (PRN) menyaksikan tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Gua Musang iaitu Galas, Nenggiri dan Paloh bakal bersaing bagi mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut.
Ketiga-tiga calon berkenaan ialah Mohd Syahbuddin Hashim yang bertanding di DUN Galas, Amran Arifin (DUN Paloh) dan Ab Aziz Yusoff (DUN Nenggiri).
Untuk rekod, tiga DUN dalam Parlimen Musang itu merupakan antara tujuh DUN yang dimenangi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Jajahan Gua Musang adalah antara kawasan pedalaman yang memerlukan perhatian daripada aspek pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas kepada penduduk.
Sehubungan itu, Mohd Syahbuddin sebelum ini dilaporkan berkata, sebagai calon yang akan mewakili suara rakyat di DUN Galas, misi utamanya adalah untuk membangunkan kawasan tersebut dengan infrastruktur yang lebih baik.
Bagaimanapun, baru-baru ini timbul beberapa pandangan daripada penduduk yang menyuarakan kekecewaan mereka dan mendakwa pemimpin daripada parti tersebut tidak akan membawa sebarang perubahan di kawasan berkenaan sekiranya sekagi lagi dilantik sebagai wakil rakyat.
"Gua Musang bertahun dah Umno pegang Parlimen dan DUN, takkan sekarang baru nak berjanji. Kalau masih bagi pun tetap akan sama," tulis John Labu menerusi komen di Facebook pada Ahad.
"Sembang sebelum dapat memang jauh beza nanti kalau dah dapat, selalunya macam itulah," kata Mat Daud.
Sementara itu, ada yang turut menganggap sekiranya rakyat menginginkan Gua Musang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, tetapi juga bebas rasuah, mereka perlulah mengundi calon selain daripada parti yang menerajui kerajaan ketika ini.
Dalam pilihan raya negeri kali ini, DUN Nenggiri bakal menyaksikan pertembungan antara Ab Aziz bertemu calon PAS-Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim, manakala Amran Arifin akan bertemu calon PAS-Bersatu, Shaari Mat Hussain (DUN Paloh) dan Mohd Syahbuddin menentang calon PAS, Mohd Tarmizi Abd Rahman (DUN Galas). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
