Selepas 55 tahun, kubu Ku Li di Gua Musang 'runtuh'


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Tengku Razaleigh Hamzah

CENGKAMAN calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li di Parlimen Gua Musang akhirnya terlerai apabila tewas tipis kepada calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azizi Abu Naim yang memperoleh majoriti sebanyak 163 undi.

Mohd Azizi muncul sebagai 'giant killer' dengan memperolehi 21,826 undi sekali gus menewaskan Ku Li dengan 21,663 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Abe Yo (4,517 undi) serta calon Pejuang, Datuk Dr. Adabi (371 undi).

Sebagai rekod, Ku Li menyandang kerusi Parlimen Gua Musang selama lebih 10 penggal iaitu bersamaan dengan 55 tahun.

Sementara itu, calon PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu apabila menang dengan majoriti 22,613 undi.

Takiyuddin memperoleh sebanyak 41,869 memewaskan pencabarnya daripada PH, Dr. Hafidzah Mustakim yang memperoleh 19,256 undi dan calon BN, Datuk Seri Rosmadi Ismail dengan 16,168 undi.

Penyandang kerusi Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dari Pas, mempertahankan kerusinya dengan majoriti sebanyak 40,847 undi setelah memperoleh keseluruhan 55,654 undi.

Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi (BN) dengan 14,807 undi,Pakatan Harapan (PH), Prof Dr. Wan Ahmad Kamil Abdullah 10,236 undi dan Mohamad Rizal Razali (Gerakan Tanah Air) dengan 687 undian.

Dalam perkembangan sama, calon BN, Marzuani Ardila Ariffin gagal mempertahankan kerusi Tan Sri Annuar Musa apabila tewas dengan majoriti 23,107 undi kepada Datuk Mejar Jeneral (B), Datuk Khlir Mohd Nor.

Khlir Mohd Nor memperolehi 40,542 undi sekali gus mengetepi Marzuani yang meraih 17,435 undi, calon PH, Haji Rahimi dengan 4,662 undi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, Haneef Ibrahim (223 undi).

Di Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal menang dengan majoriti 10,154 undi setelah memperoleh sebanyak 35,603 undi mengalahkan Ahmad Jazlan (25,449 undi).

Parlimen Machang menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Dr Rosli Allani Abdul Kadir dengan undian sebanyak 3,934 undi dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Mejar (B) Muhammad Seman sebanyak 128 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram