[VIDEO] 'Magic trick', gelagat 'mime' bekas penjaga gol Argentina berjaya 'psiko' pemain lawan


  • Podium
  • Ahad, 06 Ogos 2023

Aksi Nahuel ketika melakukan trik magik semasa penentuan sepakan penalti. — Agensi

PENALTI memang memerlukan ketenangan serta fokus yang jitu untuk mengambil sepakan apatah lagi jika situasi itu hidup dan mati buat pasukan anda untuk mara ke pusingan seterusnya.

Penjaga gol pula akan memainkan peranan penting untuk mengganggu fokus pemain yang akan mengambil sepakan penalti supaya mereka tidak dapat membolosi gawang.

Pada Sabtu tular di media sosial, aksi seorang penjaga gol, Nahuel Guzman yang melakukan serangan psikologi ketika penentuan penalti dalam perlawanan Piala Liga (Leagues Cup) antara Tigres UANL dan Vancouver Whitecaps FC.

Apa yang menarik, serangan psikologi yang dibuat penjaga gol Tigres UANL itu bukanlah mengeluarkan perkataan-perkataan yang kasar atau mengherdik pihak lawan seperti kebiasaan yang dilakukan pemain lain.

Sebelum pihak lawan mengambil sepakan penalti, Guzman kelihatan tidak selesa dengan memegang hidung dan mulut serta meminta pengadil perlawanan untuk menunggu seketika kerana dia masih belum bersedia.

Secara tetiba Guzman menarik keluar sesuatu daripada mulutnya yang mana ia dipercayai salah satu trik magik yang dibuat untuk mengganggu fokus lawan.

Trik yang dibuat penjaga gol berusia 37 tahun itu menjadi selepas dia berjaya menangkap bola sepakan lawan dengan mudah.

Bukan itu sahaja, semasa sepakan penalti kedua, Guzman turut mengganggu fokus lawan dengan membuat helah 'mime' ke atas Sergio Cordova (Vancouver Whitecaps) tetapi gagal untuk menepis sepakan penalti tersebut.

Dengan helah dan aksi magik ditunjukkan bekas penjaga gol Argentina itu, Tigres UANL menang perlawanan pusingan ke-32 Piala Liga dengan keputusan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 1-1 di Stadium BC Place, Amerika Syarikat.

Selepas ini Tigres UANL akan bertemu C.F. Monterrey dalam pusingan ke-16 pada Rabu di Stadium Shell Energy, Amerika Syarikat bagi menentukan pasukan mana yang akan layak ke pentas suku akhir.

Untuk info, Piala Liga ialah kejohanan bola sepak yang dianjurkan setiap tahun yang mana disertai kelab Liga Amerika dan Liga Mexico.

Piala Liga mula melakukan debut pada 2019 yang mana kejohanan itu berlangsung setiap tahun di dua buah negara iaitu Amerika dan Kanada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram