Jaringan Mat Yo persis Oliver Giroud nyaris malukan Sri Pahang, nama Rafael Silva diseru fans Tok Gajah


  • Podium
  • Jumaat, 04 Ogos 2023

Antara aksi perlawanan Piala Malaysia di antara Harini FT dan Sri Pahang pada Jumaat. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC berjaya memulakan langkah kanan selepas melakukan 'comeback' ke atas Harini FT dengan keputusan 3-2 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Paroi, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Tidak menunggu lama, Sri Pahang terlebih dahulu membuka akaun jaringan dengan tandukan David Rowley pada minit ke-19 selepas menerima hantaran silang dari Syazwan Andik.

Harini FT yang dibarisi ramai pemain-pemain bintang kembali menstabilkan permainan dengan pelbagai serangan ketika mengasak kubu pertahanan lawan.

Keputusan kekal 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Azam Azih menjadi watak utama Tok Gajah memberikan 'assist' kepada Syazwan Andik sekali gus menjaringkan gol kedua Sri Pahang pada minit ke-53 permainan.

Rowley

Rowley (kiri) meraikan jaringannya bersama Syazwan Andik. Facebook/Sri Pahang FC

Lima minit kemudian, bintang Harini FT, Fikri Shah melakukan kejutan apabila mengambil kesempatan atas kesilapan permain pertahan Sri Pahang, Nick Swirad dengan melakukan tampanan mudah ke gawang gol Tok Gajah.

Pada minit ke-73, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol voli yang cantik apabila menerima hantaran daripada D.Kugan yang membuat pemain Tok Gajah terkejut.

Harini FT dan Sri Pahang terus membalas serangan ke kawasan pasukan masing-masing namun gagal menambah gol.

Baqiuddin Shamsudin menjadi penyelamat Sri Pahang apabila menjaringkan gol pada masa tambahan yang mana memastikan kemenangan buat skuad kendalian Fandi Ahmad.

Keputusan kekal 3-2 sehingga tamat separuh masa pertama yang mana pasukan Liga M3 itu berjaya mengikat kelab gergasi dari Pantai Timur itu.

Zarif

Zarif dibolosi dua buah gol oleh pemain Harini FT. Facebook/Sri Pahang FC

Kemenangan tipis itu nyata tidak menggembirakan penyokong Sri Pahang apabila pasukan mereka gagal menewaskan kelab dari Liga M3 itu dengan jaringan yang selesa.

Malah, ada penyokong yang mencari pemain import baharu, Rafael Silva di kala pasukan memerlukan jaringan yang selesa.

"Rafael mana Rafael?" soal MT CH.

"Sri Pahang ini sepatutnya main liga kampung mesti menang," kata Shafiq Fiq Khai.

"Lawan team M3 pun susah nak menang besar, tengok JDT lawan Kelantan sampai 5-1 dia bantai," ujar Syairul Amzal.

"Jauh sekali nak juara kalau main macam ini," jelas Ahmad Ramdzam.

Pahang akan melayani kunjungan Harini FT di Stadium Darul Makmur, Pahang pada 20 Ogos untuk aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram