[VIDEO] PRN Selangor: Calon bertanding 'kantoi' tak tahu isu setempat?


  • Politik
  • Isnin, 31 Jul 2023

Setiap calon yang bertanding pastinya diharapkan mempunyai aspirasi untuk menyelesaikan masalah dihadapai penduduk setempat. — Gambar hiasan

BANJIR kilat merupakan antara isu utama yang lazimnya dihadapi oleh penduduk khususnya di kawasan bandar.

Disebabkan itu, masalah tersebut sering kali menjadi antara topik popular ditimbulkan setiap kali tibanya musim pilihan raya.

Bagi calon yang bertanding, isu berkenaan pastinya akan dijadikan sebagai modal yang perlu digunakan sepanjang tempoh berkempen bagi meyakinkan pengundi bagi memilih mereka.

Turut tidak ketinggalan untuk menggunakan isu tersebut ialah calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Selangor iaitu Fazil Mohamad Dali.

Dalam temu bual pertamanya bersama media selepas penamaan calon pada Sabtu lalu, beliau yang juga dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton berkata, isu banjir merupakan antara masalah yang bakal diberikan perhatian jika dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Bagaimanapun, kenyataannya itu dilihat ternyata memakan diri selepas lawannya yang juga penyandang di kerusi tersebut iaitu calon daripada Pakatan Harapan (PH), Izham Hashim mendakwa bahawa masalah banjir sudah lama tidak berlaku di kawasan berkenaan.

Izham yang juga sudah menjadi Adun di kawasan tersebut selama sepenggal berkata, kali terakhir isu banjir di kawasan tersebut adalah 20 tahun lalu yang berlaku di sebuah taman di bawah DUN berkenaan.

WhatsApp Image 2023-07-31 at 5.26.56 PM

Fazil (kiri) dan Izham ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan MPAJ Pandan Indah pada Sabtu.

"Pandan Indah sebenarnya dia tidak ada banjir, salah satu paling lama yang berlaku di Taman Kencana kira-kira 20 tahun lalu. Jadi saya dapati isu banjir itu libatkan dua autoriti iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan sebahagian di bawah (Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Jadi bila saya selaraskan kedua-duanya dan laksanakan, ia dah siap lama. Dah setahun lebih tidak ada lagi isu banjir di Taman Kencana," ujarnya ketika disoal media mengenai perancangannya untuk menangani isu banjir selepas proses penamaan calon.

Ekoran daripada itu, rata-rata warganet menyifatkan bahawa jawapan yang diberikan oleh Fazil seakan-akan memberi gambaran bahawa dirinya tidak begitu peka terhadap masalah sebenar dihadapi penduduk di kawasan tersebut.

"Jawapan yang macam pak cik borak dekat warung. Dia nak bertanding dekat kawasan tu, dia sendiri tak buat kajian pasal kawasan situ. Nampak sangat jenis kalau menang pun, tak pandai buat kerja," tulis haizumhaider.

"Asas nak jadi calon, pastikan pergi pusing semua kawasan supaya tahu mana tempat yang sakit teruk, sederhana sakit dan kurang sakit. Baru dapat agih peruntukan dengan betul," kata sobri_sandom.

Dalam pada itu, terdapat sebahagian warga maya yang bagaimanapun tampil mempertahankan kenyataan Fazil mengenai kewujudan isu banjir di kawasan tersebut.

Malah ada antaranya turut berkongsikan bukti video bertarikh pada 2018 mengenai insiden tersebut yang bertarikh pada 2018.

"20 tahun kau cakap tak pernah banjir padahal rumah orang pernah masuk air," tulis RMalanjum yang turut berkongsikan klip tersebut dengan memaparkan kejadian banjir didakwa berlaku di sebuah rumah dekat Pandan Indah. Klip itu bagaimanapun tidak dapat disahkan kesahihannya.

Bagaimanapun, tinjauan Majoriti di internet mendapati bahawa media tempatan pernah melaporkan mengenai kejadian banjir yang berlaku di Pandan Indah sekitar November 2018.

Pada masa sama, terdapat warganet mendakwa bahawa kejadian banjir kilat sememangnya berlaku di beberapa kawasan di bawah pentadbiran DUN berkenaan.

"Pertamanya, Pandan Indah area LRT Cempaka dan Jalan 1/16 depan Grandeur Tower (Pandan Indah) sampai sekarang hujan lebat selalu air naik banjir kilat. Macam mana dia yakin kata Pandan Indah tidak ada isu banjir?," soal cepetang.

Untuk rekod, Izham dalam kenyataan kepada media turut mengakui terdapat satu lokasi di kawasan tersebut masih berhadapan dengan isu banjir namun menurutnya, langkah penyelesaian sudah pun dijalankan secara berperingkat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram