[VIDEO] Ayahanda Cik Ton mahu manfaatkan pengalaman NGO, bekas gengster anggap kisah silam hanya cerita lama


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Ayahanda Cik Ton sudah pun meninggalkan kegiatan samseng itu sejak lebih empat tahun lalu.

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Fazil Mohd Dali tidak menganggap bahawa kisah silamnya akan memberikan kesan terhadap usahanya bagi bersaing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton berkata, penglibatannya dalam kegiatan samseng sudah pun ditinggalkan sejak lebih empat tahun lalu.

Disebabkan itu, katanya, pengundi seharusnya memberikan peluang kepadanya bagi berbakti kepada masyarakat.

"Kadang-kadang, kalau kita tidak bagi peluang kepada orang macam saya, siapa nak bagi? Jadi bagi peluang kepada kami dan kami cuba buat yang terbaik.

"Yang silam itu cerita lama. Sekarang ini umur dah nak masuk 50 tahun. Takkan nak bawa yang silam lagi.

"Jadi kita nak ada pengakhiran dan pengakhiran itu kita nak abadikan diri kepada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan MPAJ, Pandan Indah, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang Pengerusi Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia percaya bahawa pengalamannya berkecimpung dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak lebih 10 tahun lalu mampu meyakinkan pengundi di kawasan tersebut bagi memilihnya.

Mengulas lanjut, Fazil, 49, berkata, antara fokus perjuangannya di kawasan tersebut adalah bagi membantu memastikan kebajikan kumpulan B40 selain memberi perhatian terhadap isu banjir.

Beliau yang mempunyai empat orang isteri dan 15 anak turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaannya untuk menyeimbangkan tanggungjawab antara memenuhi keperluan keluarga dan wakil rakyat sekiranya dipilih pada PRN.

"Itukan tanggungjawab tak risau apa pun," ujarnya ringkas ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

WhatsApp Image 2023-07-29 at 12.59.24 (1)

Fazil (kanan) akan berhadapan dengan saingan empat penjuru di kerusi DUN Pandan Indah.

Dalam persaingan merebut kerusi Pandan Indah kali ini, Fazil akan menghadapi cabaran empat penjuru membabitkan calon penyandang, Izham Hashim dari PH, Lisa Redzuan (Muda) dan Sivaneswaran Ramasundram (Bebas).

Pada PRU14 lalu, Izham yang juga Pengerusi Parti Amanah Selangor memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 16,386 menewaskan pencabarnya Datuk Haniff Koslan (BN) dan Datuk Iskandar A Samad (PAS).

DUN Pandan Indah yang terletak di bawah Parlimen Pandan merupakan kerusi terdiri daripada komposisi majoriti Melayu yang membentuk 60.5 peratus daripada demografi diikuti Cina (30.6 peratus), India (8.0 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram