HIDUP segan mati tak mahu.
Itulah mungkin perumpamaan tepat bagi menggambarkan suasana di sebuah pusat beli-belah yang terletak di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Ini selepas kompleks perniagaan tersebut difahamkan mengalami kemerosotan jumlah pengunjung yang agak ketara bermula sejak Oktober 2022.
Keadaan tersebut ternyata menggusarkan penyewa premis di pusat beli-belah tersebut yang ada antaranya sudah meniaga di situ lebih 10 tahun.
Bagi pemilik kedai barangan cenderamata yang hanya ingin dikenali sebagai Ng, 56, kadar penurunan jumlah pengunjung sejak lebih hampir 10 bulan lalu itu dianggarkan mencecah sehingga 30 peratus berbanding waktu sebelumnya.
"Sebelum ini ketika selepas pandemik mula reda sekitar 2021, memang dah berkurangan sedikit.
"Tapi sejak akhir tahun lepas sampai sekarang, dia jadi lagi menurun," katanya kepada Majoriti.
Ng mengakui bahawa isu tekanan ekonomi dihadapi ramai rakyat sememangnya menjadi antara faktor penyumbang kepada situasi tersebut.
Suasana di sebuah sebuah pusat beli-belah di Pandan Indah, Kuala Lumpur yang kelihatan lengang meskipun pada hujung minggu.
Namun, dia memaklumkan turut menerima aduan daripada pengunjung yang merungut mengenai kadar harga parkir di kawasan bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang disifatkan agak membebankan sehingga mencecah RM5 sekali masuk.
Malah jelas Ng, tidak cukup dengan jumlah jualan yang berkurangan, peniaga di pusat perniagaan itu turut dihimpit apabila dikenakan kenaikan sewa sekitar 15 peratus sejak 2021.
Dalam pada itu, peniaga pakaian, Amir Abd Razak, 41, berkata, kesan penurunan jumlah pengunjung itu amat memberikan kesan besar terhadap pendapatan jualan perniagaanya.
"Memang jualan tak macam dulu mungkin sehari dapat dalam RM1,000. Sekarang RM10 pun kadang tak dapat," ujarnya yang membantu menguruskan perniagaan ibunya yang sudah beroperasi di pusat beli-belah tersebut sejak 2005.
Amir bergambar di hadapan kedai pakaiannya di sebuah pusat beli-belah di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Amir berkata, disebabkan situasi itu, dia juga terpaksa mengurangkan waktu perniagaannya termasuk pada hari hujung minggu dengan menutup premis lebih awal daripada waktu sepatutnya.
"Kalau hujung minggu ni mungkin ada juga orang datang. Tapi itu pun saya terpaksa tutup awal kebiasaannya pukul 7 petang walaupun waktu perniagaan sampai 9.30 malam.
"Kalau hari bekerja lagi awal. Ada tu kadang-kadang pukul 5 petang pun dah balik. Sebabnya memang sunyi tak ada orang datang.
"Dah macam tempat zombie. Lagipun rugi kalau terus buka. Pembeli tidak ada, tapi bil elektrik semua jalan," katanya yang membayar kadar sewa sekitar RM1,400 bagi premis perniagaanya yang beroperasi di tingkat dua pusat membeli belah itu.
Amir berkata, kekurangan aktiviti dan program bagi menarik pengunjung ke kompleks tersebut juga menyumbang kepada keadaan tersebut.
Katanya, pihak pengurusan pusat beli-belah itu juga tidak menyedihkan sebarang dekorasi termasuk ketika tempoh perayaan seperti sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
"Untuk tahun ini, hanya ada satu program anjuran Majlis Perbandaran yang menjadikan mall ini sebagai venue permulaan. Waktu hari tu, memang jualan di kedai saya meningkat.
"Jadi bagi saya cara nak bantu kami ini, pihak terbabit perlu memikirkan cara supaya acara sedemikian boleh lebih kerap di sini mungkin sebulan dua kali.
"Contohnya macam pertandingan mewarna peringkat sekolah ke, itu pun saya rasa cukup nak tarik pengunjung," ujarnya.
Lim sedang menyusun pakaian di kedainya yang terletak di sebuah pusat membeli-belah dekat, Pandan Indah, Kuala Lumpur
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga pakaian di tingkat sama, K A Lim, 60, berkata, akibat situasi tersebut, dia mengalami kerugian sejak Januari lalu kerana pendapatan jualan perniagaannya tidak dapat menampung kos untuk membayar sewa bulanan kedai.
Situasi itu memaksanya untuk menggunakan duit simpanannya bagi menanggung kos operasinya dalam tempoh tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram