KEGAGALAN untuk menamatkan pendidikan di peringkat pengajian tinggi tidak menjadi penghalang buat calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Lisa Redzuan untuk menawarkan diri bagi bersaing di kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah.
Ibu kepada lima orang anak itu berkata, langkah untuk bertanding pada pilihan raya kali ini dibuat kerana dia percaya terhadap kebolehannya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
Dia yang merupakan anak jati Kuala Lumpur itu juga mengakui tidak risau terhadap perspektif negatif dilabelkan yang hanya mempunyai tahap pelajaran di peringkat Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).
"Macam saya cakap, saya teruskan pengajian di peringkat diploma tapi tak tamat. SPM adalah sijil saya paling tinggi. Saya tidak risau berkenaan pendidikan sebab saya jadi VP (Naib Presiden) pun dengan hanya sijil SPM saya.
"Tapi seperti yang kita tahu, Muda adalah parti yang menawarkan politik khidmat. Jadi yang penting adalah apabila saya dipilih, saya akan turun padang, itu lebih penting daripada sijil.
"Yang penting jiwa rakyat itu perlu ada, dan saya tahu itu saya ada," katanya kepada Majoriti.
Lisa akan bersaing dalam pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini dengan DUN Pandan Indah menyaksikan pertembungan calon membabitkan penyandangnya, Izham Hashim daripada Pakatan Harapan (PH), Muhammad Fazil Mohd Dali (PN), Sivaneswaran Ramasundram (Bebas).
Pada PRU14 lalu, Izham yang juga Pengerusi Parti Amanah Selangor memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 16,386 menewaskan pencabarnya, Datuk Haniff Koslan (BN) dan Datuk Iskandar A Samad (PAS).
Calon Muda bagi DUN Pandan Indah, Lisa Redzuan
Mengulas lanjut, Lisa, 41, yang memegang jawatan Naib Presiden di salah sebuah syarikat bank antarabangsa itu berkata, melalui penyertaan kali ini, dia turut mahu menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang pernah gagal dalam pendidikan untuk kembali bangkit membina kehidupan masing-masing.
"Tak semestinya kita ada sijil kita boleh buat semua benda kerana saya tahu saya bekerja keras dari bawah. Dari situlah saya menjadi inspirasi kepada semua orang.
"Maknanya peluang kedua itu kalau diguna pakai dengan sebaik mungkin, anda boleh berada di suatu tempat yang terbaik," ujarnya.
Dalam pada itu, Lisa yang juga anak jati Kuala Lumpur itu berkata, DUN Pandan Indah bukanlah asing bagi dirinya kerana dia pernah membesar bersama neneknya yang tinggal di kawasan tersebut.
"Pandan Indah ini memang dekat di hati saya. Jadi, saya ingin kembali untuk membantu komuniti anak muda, golongan susah, orang tua, wanita semua dekat sini," katanya.
Sementara itu, Lisa berkata, dia tidak risau untuk bersaing dengan kesemua calon lain yang memiliki nama besar dan mewakili gabungan utama politik negara.
Timbalan Ketua Parlimen Muda Bandar Tun Razak itu berkata, pasukannya akan menggunakan strategi turun padang untuk mendekati dan meyakinkan pengundi.
"Saya akan cuba turun ke padang sebanyak mungkin kerana Muda tak akan buat banyak ceramah.
"Buat apa saya banyak berceramah nak bagi orang banyak sangat dengar, lebih baik saya turun padang membantu dan mendengar apa yang orang nak serta dengar masalah mereka.
"Dari situ baru kita tahu apa yang orang ramai inginkan dan boleh lakukan perubahan secara berperingkat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram