SABAH FC kembali bangkit daripada kekalahan selepas berjaya menewaskan Penang FC dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.
Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee bermula garang seawal minit permainan selepas Irfan Fazail menjaringkan gol menerusi hantaran Daniel Ting.
Pada babak separuh masa pertama sudah ada beberapa layangan kad kuning terhadap kedua-dua pasukan selepas aksi permainan yang agak keras.
Meskipun beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, Sabah dilihat lebih mendominasi permainan dan asakan sehingga memaksa Penang banyak bertahan di kawasan sendiri.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Ramon Machado menambah jaringan keempat musim ini selepas berjaya menanduk bola ke dalam gawang Penang FC.
Bersambung babak kedua, permainan semakin panas selepas beberapa insiden pelanggaran keras berlaku terhadap kedua-dua pasukan.
Ramon (tengah) meledak jaringan keempat musim ini. — Facebook/Sabah FC
Pada minit ke-54, Park Tae-su melakukan terjahan keras kepada Hafiz Al-Harun yang mana membuatkan Ousmane Fane terpaksa bertindak sama ke atas Irfan Fazail.
Selang empat minit kemudian, Gary Steven Robbat dan Fane dilayangkan kad kuning selepas kedua-dua pemain tidak berpuas hati antara satu sama lain.
Penang cuba bangkit dengan jaringan Alif Ikmal pada minit ke-76 selepas dia berjaya menewaskan pertahanan Sabah, Gabriel Peres dan merembat bola deras ke dalam gawang gol Sang Badak.
Keputusan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan yang mana Sabah berjaya mencatatkan kemenangan ke-11 dalam 18 perlawanan.
Alif menjaringkan gol keduanya musim ini. — Facebook/Penang FC
Kekalahan di halaman sendiri ternyata membuatkan penyokong Penang tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Harimau Kumbang.
Malah ada penyokong yang melabelkan seperti sedang melihat program Raja Lawak apabila melihat Penang bermain.
"Aku rasa macam tengah tengok Raja Lawak, gelak seorang dari tadi, tak ada game play, rempuh kawan sendiri, tak ada komunikasi passing semua ke laut," kata Alan Tando.
"Bila bagi keeper lain pun teruk juga, Rafael macam dah malas nak main bola," ujar Tomes Aria.
"Kalau macam ini import baharu ambil Grab balik airport dah," jelas Mohd Fazhil.
Penang kekal di tangga ke-10 selepas mengutip 19 mata serta merekodkan sembilan kekalahan dalam 18 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram