'Swap' destinasi, Lee Tuck disebut-sebut pengganti YB Baddrol di Sabah


  • Podium
  • Khamis, 27 Jul 2023

Ketika bersama Kedah, Lee Tuck juga diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan. — Facebook/KDAFC

PADA Rabu, peminat Sang Kenari dikejutkan dengan berita kurang gembira apabila tonggak naturalisasi Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Lee Andrew Tuck mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan tersebut selepas hanya enam bulan menabur bakti bersama kelab berpangkalan di Utara tanah air itu.

Menurut kenyataan di laman media sosial KDA FC, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pihak pengurusan kelab dan Lee Tuck yang akhirnya sepakat mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Lee Tuck dari skuad Sang Kenari.

Pengumuman tersebut sedikit sebanyak memberi duka kepada penyokong Hijau Kuning berikutan pemain naturalisasi kebangsaan itu merupakan salah satu tonggak yang memberi banyak sumbangan kepada kem Sang Kenari.

WhatsApp Image 2023-07-27 at 10.14.18

Lee Tuck bukan hanya beraksi di posisi tengah, malah sebagai penyerang sayap. — Facebook/KDAFC

Dalam pada itu, dengan kehilangan pemain tengah menyerang itu, ia secara tidak langsung akan menambah kelompangan pada bahagian serangan Kedah terutamanya apabila baru-baru ini KDA FC turut kehilangan penyerang sayap, Al-Hafiz Harun yang dipinjamkan ke Penang FC.

BACA LAGI: Reunion dengan kawan lama antara destinasi cinta baharu Lee Tuck

Bagaimanapun, di kala penyokong Sang Kenari berduka, khabar gembira bakal terbang ke Borneo apabila terdapat desas-desus kehilangan tonggak utama Sang Kenari itu memberi sinar harapan kepada pasukan Sabah FC.

Ini kerana, kehilangan bekas kapten Sabah, Baddrol Bakhtiar memberi kesan kepada bahagian tengah pasukan yang berpangkalan di Borneo itu selepas mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada The Rhinos.

Baddrol dikatakan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri Kedah, justeru Lee Tuck dianggap sebagai calon terbaik menggantikan Kapten Marvel itu bersama The Rhinos.

Rentetan daripada kejadian itu, ramai peminat mendesak pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) membawa masuk pemain kelahiran England itu untuk membantu bahagian tengah dalam menghadapi baki saingan liga musim ini, selain persediaan menjelang perlawanan Piala AFC 2023 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Maybe ke Sabah untuk menggantikan posisi Baddrol Bakhtiar,Piala AFC dah nak dekat," kata Khairul Ariffin.

"Takkan Lee Tuck pergi ganti tempat Baddrol di Sabah? Ada deal apa-apa kah ni?," kata Hafiz Salama.

Jika diikutkan, bekas kapten Sabah, Baddrol dan Lee Tuck mempunyai persamaan posisi iaitu bermain di bahagian tengah namun apa yg membezakannya ialah Lee Tuck bermain di posisi tengah menyerang (attacking midfiled) yang sering memberi bantuan kepada serangan dan Baddrol pula sebagai pemain tengah (central midfield) yang boleh dikatakan membantu semua kawasan tengah padang.

Sebagai pengendali The Rhinos, Kim Swee sememangnya seorang yang teliti kerana dianggap mampu membawa masuk pemain yang boleh menggantikan posisi Baddrol dan Lee Tuck adalah salah satu calon sesuai setakat ini memandangkan kini berstatus sebagai ejen bebas.

Dalam masa sama, terdapat juga penyokong KDA FC meluahkan perasaan tidak puas hati dengan menyindir Lee Tuck kerana permintaan gaji yang tinggi.

"Kenapa tiba-tiba, ke ada team yang offer lebih tinggi?," kata Bert Karlvardos.

"Tawaran lebih tinggi apa kan daya, maybe lah. Kalau ya pun,habiskan lah dulu season ni," kata Amin Fadzli.

Lee Tuck sememangnya dikenali sebagai seorang pemain yang sering bertukar kelab baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), tonggak itu sudah berhijrah skurang-kurangnya empat pasukan sebelum ini iaitu Negeri Sembilan FC, Sri Pahang, Terengganu FC serta KDA FC.

Selain itu, sebelum berhijrah ke Kedah, salah seorang penyokong Tok Gajah mendedahkan bahawa pasukan Sri Pahang terpaksa melepaskan tonggak tersebut berikutan permintaan gaji yang terlalu tinggi.

"Mamat ni memang banyak hal sejak dulu. Pahang yang dapatkan warganegara pun dia boleh buat hal, mana-mana team kena berhati-hati dengan Lee Tuck ni," dakwa Zulkipli Hj Sudin.

Untuk rekod, setakat 15 perlawanan Liga Super, Lee Tuck, 35, sudah merekodkan 15 jaringan gol dan tujuh hantaran bantuan setiap kali mendapat kepercayaan Nafuzi Zain turun beraksi bersama pasukan Hijau Kuning. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram