JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia menyaksikan Terengganu FC membawa masuk dua pemain dalam usaha memperbaiki posisi dalam carta liga di samping sebagai persiapan menjelang aksi Piala AFC pada September.
Penyerang sayap, Nor Hakim Hassan serta perancang pasukan, Nurillo Tukhtasinov menjadi rekrut baharu skuad Sang Penyu dengan harapan kehadiran masing-masing dapat memberi sentuhan berbeza.
Bagaimanapun, selepas perpindahan tersebut dimuktamadkan pada pertengahan Julai lalu, pihak pengurusan seperti sudah tidak mahu membawa masuk pemain baharu.
Keputusan tersebut sedikit sebanyak menyebabkan penyokong Terengganu FC berang memandangkan masih terdapat kelemahan buat pasukan itu, lebih-lebih lagi dalam aspek serangan.
Meskipun sudah menjaringkan 24 gol daripada 17 perlawanan Liga Super, statistik berkenaan boleh dianggap sebagai agak mengecewakan berbanding pencapaian mereka musim lalu.
Norhakim merupakan salah seorang rekrut untuk skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, dalam menyelesaikan ketumpulan barisan serangan, peminat setia kelab Pantai Timur itu meletakkan harapan agar pihak pengurusan dapat menyambar dua pemain tempatan iaitu Zhafri Yahya dan Akram Mahinan.
Kedua-dua mereka ketika ini terikat dengan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan masing-masing memikul peranan cukup baik di posisi tersendiri.
Meskipun Akram terus dibelenggu isu kecederaan sejak musim lalu, kebolehannya untuk mematahkan serangan lawan dengan merampas bola sering mencuri perhatian.
Zhafri juga tidak boleh dipandang rendah mengenai kebolehan teknikalnya di atas padang apabila dia bijak mencari ruang serta menyempurnakan peluang di hadapan pintu gol.
Kemasukan kedua-dua pemain kebangsaan itu dilihat akan memacu Terengganu FC untuk baki musim, lebih-lebih lagi dengan mereka berpengalaman beraksi di peringkat Asia bersama KL City pada 2022.
Terengganu FC masih perlu penambahan baik dari segi serangan mahupun pertahanan. — Facebook/Terengganu FC
Namun, harapan penyokong Sang Penyu untuk menyaksikan Zhafri dan Akram dalam jersi pasukan seolah-olah tidak kesampaian apabila khabar angin itu ditepis mentah-mentah oleh pihak pengurusan.
Berdasarkan satu artikel yang dihasilkan Terengganu 11 pada Rabu, khabar angin itu hanya dimainkan untuk menghangatkan suasana bersempena jendela perpindahan yang masih dibuka.
"Tidak... Itu hanya khabar angin, lagipun dua pemain itu tidak ada daIam perancangan juruIatih, malah kami tidak pernah berbincang untuk mendapatkan khidmat mereka.
"Mungkin ada pihak tertentu atau peminat cuba membuat andaian pemain berkenaan bakaI beraksi bersama Terengganu FC pada jendela kedua perpindahan pemain yang masih berbaki Iebih kurang seminggu sahaja Iagi," katanya.
Sumber tersebut difahamkan merupakan seseorang yang berpangkalan dalam Terengganu FC Sdn Bhd yang pastinya mengetahui hala tuju pihak pengurusan.
Seperti dikatakan di atas, skuad Sang Penyu hanya membawa masuk Norhakim dan Nurillo sementara jeneral tengah pasukan, Domagoj Pusic terpaksa dilepaskan bagi membuka ruang untuk pendaftaran pemain import. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram