[VIDEO] Masih disiasat kes 'body shaming' YB Syefura, influencer dakwa kononnya disogok ribuan ringgit 'hentam' parti politik


  • Tular
  • Selasa, 25 Jul 2023

Tangkap layar seorang pempengaruh mendakwa dirinya pernah disogok dengan wang ringgit oleh sebuah parti politik.

SEORANG pempengaruh media sosial dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Individu berusia 21 tahun terbabit diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Bentong, Pahang pada Khamis (27 Julai) ini.

Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara sebelum ini membuat dua laporan polis di IPD Bentong masing-masing berhubung kes penipuan dan gangguan seksual oleh seorang pempengaruh media sosial terhadapnya.

Beliau mendakwa, individu itu mengeluarkan kenyataan seksis dan berunsur lucah yang dianggapnya sebagai gangguan seksual dalam video yang dimuat naik ke laman media.

Namun, dalam satu perkongsian lain di TikTok, pempengaruh itu sekali lagi mengundang perhatian ramai menerusi pendedahan yang disiarkan secara langsung di platform media sosial itu dipercayai dibuat baru-baru ini.

Menjelaskan dirinya pernah disogok dengan wang ringgit oleh pihak tertentu atas dasar kepentingan politik, dia mendakwa golongan pempengaruh dibayar dengan RM2,000 untuk setiap satu video yang dihasilkan.

Menurutnya, perkara itu bertujuan tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mengancam pihak dengan kecaman serta tuduhan yang mampu menjatuhkan sesebuah parti politik.

Beberapa syarat turut dikenakan kepada individu yang dibayar dengan ideologi serta kempen yang dijalankan perlulah dirahsiakan daripada orang ramai.

Mendakwa ia bukan kali pertama dirinya dilamar untuk menjalankan tugas sedemikian, pempengaruh itu juga berkata, dia turut menjadi mangsa kecaman daripada pihak yang sengaja ingin menjatuhkannya.

"Pasal aku pertahankan Muhammad Sanusi, tiba-tiba ada yang panggil saya nak bayar buat kerja untuk mereka.

"Anda ingat saya dikecam ini semuanya percuma, ada yang dibayar dan saya ada simpan bukti, saya dah cerita semua pada pihak tertinggi sebab itu saya tak takut," ujarnya.

Namun, tiada kesahihan tentang masa video itu dirakamkan dan individu berkenaan juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengulas rakaman yang tersebar itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram