SATU kemenangan bergaya diraih Selangor FC ketika menerima kunjungan Sabah FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor.
Gol Ayron del Valle pada minit ke-23 permainan sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat pasukan kendalian Tan Cheng Hoe yang beraksi dengan cemerlang.
Meskipun sering melakukan asakan, skuad Sang Badak terpaksa akur dengan kecemerlangan tuan rumah, lebih-lebih lagi dalam aspek pertahanan.
Selain itu, nasib jelas tidak memihak kepada pasukan Borneo terbabit apabila beberapa percubaan yang dibuat hanya terkena palang gol mahupun tersasar daripada gawang.
Gol del Valle sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Hal tersebut juga dihadapi skuad Gergasi Merah apabila sekurang-kurangnya terdapat tiga momen palang gol menggagalkan usaha mereka untuk mendapatkan jaringan kedua.
Tetapi, tiga mata tersebut sudah cukup menggembirakan penyokong kelab Lembah Klang itu apabila mereka semakin mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, masih terdapat segelintir peminat setia pasukan yang berasakan kemenangan terbabit adalah satu penghormatan buat mendiang B Sathianathan.
"Betullah, sebelum ini, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Selangor FC, Johan Kamal Hamidon mahu perlawanan itu dibuat bagi memperingati Sathianathan. Tahniah, menang juga ya," ujar Nina Hazwani.
"Kemenangan ini untuk Sathia. Walaupun dia tidaklah cukup hebat ketika membimbing Selangor FC, ia masih satu sumbangan cukup besar daripadanya," kata Aisyah Borhan.
18 Julai, Sathianathan mengembuskan nafas terakhirnya selepas bertahun-tahun terlibat dengan kanser yang mana boleh dianggap sebagai satu kehilangan dalam dunia bola sepak tanah air.
Dia sebelum ini pernah bergelar ketua jurulatih skuad Gergasi Merah dari 2018 sehingga 2020 dengan beberapa momen manis direkodkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram