'Kami perlu bersedia dengan sebarang formasi atau taktik', import baharu Rhinos buat Cheng Hoe gusar


  • Podium
  • Ahad, 23 Jul 2023

Gergasi Merah kini berada di tangga kedua liga dengan 37 mata. — Facebook/SelangorFC

SELANGOR FC semakin berwaspada dengan ancaman besar pesaing terdekat, Sabah FC dalam pertembungan Liga Super mereka pada Ahad yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor.

Skuad Gergasi Merah yang berharap dapat mengukuhkan kedudukan di tempat kedua, tidak akan mudah menentang The Rhinos terutamanya selepas membelasah Pahang 4-0 pada hujung minggu lalu.

Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengambil maklum persembahan Sang Badak namun masih ingin pasukannya meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Pulau Pinang 3-0 minggu lalu.

“Sabah menang selesa menentang Pahang. Anda boleh lihat betapa mantapnya pertahanan mereka dan serangan mereka kelihatan terlalu tajam sejak kebelakangan ini,” katanya.

Pengendali berusia 55 tahun itu menyedari Sabah mempunyai kualiti di setiap bahagian, terutamanya dalam serangan dan pertahanan, selain berwaspada dengan salah seorang pemain baharu pasukan Borneo tersebut.

WhatsApp Image 2023-07-23 at 10.20.49

Ramon sudah mencetak tiga jaringan gol dalam dua perlawannya bersama Sabah FC. — Facebook/SabahFC

"Tonggak baharu mereka, Ramon Machado telah menambah kualiti pada serangan mereka dan anda boleh melihat dua persembahannya untuk Sabah. Kami perlu bersedia dengan sebarang formasi atau taktik.

"Bagi Selangor, suasana sebelum perlawanan ini baik. Anak-anak buah saya bermotivasi untuk berdepan Sabah dan sesiapa yang terpilih akan memberikan yang terbaik,” tambahnya.

Penjaga gol Gergasi Merah, Samuel Somerville berkata, ia adalah perlawanan yang boleh menentukan nasib mereka musim ini.

Selangor berada di tangga kedua liga dengan 37 mata, manakala Sabah yang kini turut memburu tiga tempat teratas, berada di tempat kelima dengan 33 mata dan jika menang mereka hanya ketinggalan satu mata di belakang skuad Lembah Klang tersebut.

“Satu lagi perlawanan besar. Ia adalah perlawanan yang boleh menentukan nasib kami musim ini. Kami mesti menang, tiada keputusan lain,” ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram