KENYATAAN Bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar bahawa parti terbesar orang Melayu itu tidak pernah diarah untuk diharamkan, menimbulkan persoalan bukan sahaja daripada para pemimpin, malah mendapat kecaman ramai.
Dalam ucapannya baru-baru ini, Noh mendedahkan, beliau dan beberapa pemimpin Umno pernah mengadakan perjumpaan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama dahulu.
Dalam pertemuan itu, dakwanya, Dr Mahathir menegaskan kaum Melayu perlu bersatu semula menerusi penyatuan Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, Dr Mahathir seterusnya meminta kedua-dua parti itu dibubarkan sebelum parti baharu ditubuhkan.
"Beliau bukan suruh haramkan Umno, beliau cadang Umno dibubarkan," katanya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) pada bulan depan.
Dakwaan itu sebaliknya dibidas oleh warga maya, yang rata-ratanya mencabar Noh untuk membubarkan Bersatu dan PAS terlebih dahulu.
Halim Hashim berkata, Noh sepatutnya memberi cadangan kepada Dr Mahathir; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membubarkan dua parti komponen PN itu sebelum menubuhkan parti baharu.
"Buatlah cadangan itu kepada kumpulan yang sedang anda sokong sekarang ini.
"Betul dah tindakan pemecatan anda sebagai ahli Umno oleh Lembaga Disiplin tempoh hari," katanya.
Syed Fauzi Al Qadri pula berkata, satu-satunya formula menyatu-padukan Melayu dalam negara adalah untuk menyatukan ketiga-tiga parti politik tersebut.
"Parti PAS, Bersatu dan Umno kena bubar dan dijenamakan semula. Negara akan kembali ke landasan sebenar dan semua akan menikmati kemakmuran negara. Wallahualam," tulisnya.
Sementara itu, Daeng Mendung Norazhar pula berpendapat tidak mudah untuk membubarkan Umno disebabkan parti itu sudah lama ditubuhkan di negara ini.
"Kalau bubar Bersatu tu logiklah. Sebab parti baru setahun jagung. Fakta jangan dipusing-pusing Tan Sri. Rakyat tahulah," ujarnya.
Pada masa sama, Din Garden mengakui tentang kebenaran dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Umno pernah diarah untuk diharamkan.
"Nampaknya DSAI (Anwar Ibrahim) tidak menipu hal ini. Kenapa nak bubar Umno parti keramat yang banyak berjasa kepada rakyat sejak merdeka lagi.
"Kalau nak bubar Bersatu tu okaylah," tulisnya.
Terdahulu, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mencabar Noh untuk membuktikan kesahihan bahawa Umno tidak pernah diarah untuk diharamkan.
Dedah Megat, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah dipanggil Perdana Menteri pada masa itu, Dr Mahathir untuk membubarkan parti tersebut.
Jelasnya, Ahmad Zahid disabitkan dengan 87 pertuduhan disebabkan keenggannya untuk membubarkan Umno, malah arahan untuk mengharamkan parti itu turut dikeluarkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram