[VIDEO] 'Ini semua fitnah politik', AJK masjid Senawang kembali bidas kenyataan ahli PN


  • Tular
  • Khamis, 20 Jul 2023

Ahli Jawatankuasa Masjid Taman Pinggiran Senawang menafikan tuduhan di media sosial bahawa pihak masjid tidak membenarkan beberapa anak muda menunaikan solat isyak baru-baru ini.

AHLI Jawatankuasa (AJK) Masjid Taman Pinggiran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, menafikan tuduhan di media sosial bahawa pihak masjid tidak membenarkan beberapa anak muda yang terlibat dalam aktiviti politik Perikatan Nasional (PN) menunaikan solat isyak baru-baru ini.

Difahamkan. kejadian itu berlaku pada Ahad lalu ketika parti politik berkenaan sedang mengadakan aktiviti di kawasan berkenaan.

Pengerusinya, Nordin Supardi menerusi satu video tular yang dimuat naik pada Rabu menyifatkan tuduhan itu ibarat satu fitnah politik yang kononnya tidak membenarkan anak-anak muda untuk bersolat.

“Pada hari berkenaan, beberapa anak muda dan pemimpin parti politik hendak bersolat dalam masjid.

“Salah seorang daripada mereka memakai vest parti politik PN.

“Saya maklumkan kepada mereka, dalam masjid tak boleh berpolitik.

"Kalau tuan-tuan berpolitik dalam masjid, saya akan halau terang-terang.

“Selepas teguran saya, lelaki tersebut membuka vest beliau.

“Tapi saya tak cakap tak boleh solat. Bersolat itu adalah wajib untuk semua orang Islam,” kata Nordin.

Nordin berkata, tuduhan ini satu fitnah yang dibuat ahli-ahli politik yang mempolitikkan kononnya masjid ini tidak membenarkan anak-anak muda untuk bersolat.

“Atas kesempatan ini. Saya ingin memberitahu, ini satu fitnah yang dilakukan oleh mereka.

“Saya juga dah buat satu laporan polis di Balai Polis Senawang pada 17 Julai lalu,” kata Nordin.

Terdahulu, Majoriti melaporkan beberapa individu mendakwa pihak masjid tidak membenarkan mereka menunaikan solat isyak tergendala apabila didakwa dihalau keluar oleh pihak pengurusan masjid tersebut.

Perkara tersebut tular menerusi satu video di TikTok yang memperdengarkan suara dipercayai milik pihak pengurusan masjid memaklumkan sesiapa yang memakai pakaian yang mempunyai logo daripada mana-mana parti politik akan dihalau daripada kawasan berkenaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram