MENTERI Besar sementara Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan polis di satu lokasi di ibu negara awal pagi Selasa, kata setiauasa politiknya, Hilmi Abd Wahab.
Perkara itu dikongsikan Hilmi menerusi rakaman video yang dimuat turun dalam laman Facebooknya pagi Selasa.
Rakaman penahanan menteri besar sementara Kedah itu turut tersebar di media sosial yang menunjukkan kira-kira 20 anggota polis menunggu di luar bilik hotel tempatnya menginap.
Menurut Hilmi, Muhammad Sanusi baru pulang ke bilik hotelnya pada pukul 11 malam Isnin selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.
"Pada pukul 2 pagi, kami melihat dua lelaki berpakaian gelap berdiri di pintu keluar kecemasan aras 33A dan pada pukul 2.10 pagi, terdapat lima lagi lelaki berada di lokasi yang sama.
"Pada pukul 2.30 pagi, mereka mengetuk pintu bilik Sanusi dan terdapat 20 anggota polis berada di luar bilik," katanya.
Pengarah Pilihan Raya Pas itu ditahan polis di sebuah hotel penginapan dalam Lembah Klang dan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.
Tambahnya lagi, pemimpin PAS itu akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Selayang, Selangor pagi Selasa kerana beliau akan didakwa di sana.
Semakan di laman web https://efs.kehakiman.gov.my/ mendapati kes Muhammad Sanusi didaftarkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang berasingan di hadapan hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh pada pukul 9 pagi.
Terdahulu, dalam ucapannya yang tular, Muhammad Sanusi itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.
Beliau kemudiannya, mengeluarkan permohonan maaf kepada Sultan Selangor pada Jumaat lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram