Sanusi tak mengaku salah, polis kawal ketat Mahkamah Selayang


Anggota PGA lengkap bersenjata berkawal di perkarangan kompleks mahkamah.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor pada Selasa atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.

Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

"Saya faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah, Yang Arif," katanya dalam keadaan tenang.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kedua-dua kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak, Selangor pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, pendakwaan Menteri Besar Kedah sementara itu pada Selasa di Kompleks Mahkamah Selayang menyaksikan kehadiran polis yang ramai.

Sekumpulan besar petugas media juga kelihatan bersiap sedia di pintu masuk utama untuk melihat kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu ketika beliau dibawa masuk.

Turut kelihatan beberapa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) lengkap bersenjata berada di perkarangan kompleks mahkamah.

Anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik turut menutup jalan utama menuju ke kompleks itu pada 7.30 pagi Selasa.

Beberapa anggota polis berpakaian biasa juga kelihatan di dalam kawasan itu.

2182664

Polis mengawal ketat perkarangan mahkamah.

Majoriti sebelum ini melaporkan Muhammad Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat ditahan polis pada pukul 3 pagi Selasa.

Setiausaha politiknya, Hilmi Abd Wahab berkata, pada pukul 2.30 pagi, pintu bilik hotel Muhammad Sanusi diketuk dan terdapat 20 anggota polis di luar bilik.

“Dia kemudian diarahkan keluar dari biliknya, dibawa ke tingkat bawah dan dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diberitahu menuju ke ibu pejabat polis daerah Gombak,” katanya.

Muhammad Sanusi dihadapkan ke mahkamah ekoran kenyataannya yang didakwa telah menghina institusi diraja Selangor.

Beliau telah mengeluarkan permohonan maaf kepada Sultan Selangor pada Jumaat (14 Julai). — The Star /Austin Camoens dan Junaid Ibrahim