Seakan ‘hint’ kembali ke bumi Darul Iman, cuma Pahang dilihat destinasi terbaik Sanjar


  • Podium
  • Selasa, 11 Jul 2023

Nurillo sudah menyertai latihan bersama rakan sepasukan TFC. — Facebook/TFC

JENTERA tengah Terengganu (TFC) dilihat bakal tampil lebih kukuh bagi perlawanan selepas ini apabila menyambar khidmat pemain dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov pada jendela perpindahan musim kedua ini.

Pemain tengah berusia 26 tahun itu mengikat kontrak dengan pasukan berpangkakan di Pantai Timur tersebut sehingga Disember 2024 bagi mengisi kuota pemain import skuad Penyu bagi musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Ab Rasid Jusoh berkata, Nurillo memiliki rekod cemerlang pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan dan kemahirannya itu dipercayai mampu memberikan impak positif bagi mengharungi saingan Liga Super, Piala Malaysia serta Piala AFC.

Jeneral tengah yang beraksi bersama pasukan FC Neftchi Fergana di Uzbekistan Super League itu bukan hanya cemerlang bersama kelabnya, malah antara wajah utama skuad Bawah 19 Tahun (B-19), B-21, B-23 dan skuad senior negaranya.

Malah, kegembiraan penyokong tidak terhenti di situ apabila bekas import yang pernah menabur bakti bersama skuad Sang Penyu juga memberi petunjuk untuk kembali semula ke bumi Darul Iman.

WhatsApp Image 2023-07-11 at 11.15.40

Tangkap layar hantaran dari Sanjar.

Pemain tersebut juga adalah rakan senegara Nurillo iaitu Sanjar Shaakhmedov yang pernah menyarung jersi TFC selama dua musim iaitu pada musim 2019 hingga 2021.

Penyokong mula menimbulkan spekulasi bahawa pemain berusia 32 tahun seperti berminat kembali menyarung jersi Sang Penyu selepas Sanjar memuat naik gambarnya ketika bersama Terengganu pada suatu ketika dahulu di Insta Story.

Sanjar sememangnya masih dirindui penyokong dan buktinya menerusi satu undian yang pernah dijalankan dalam talian pada 2021, peminat Terengganu FC memilihnya sebagai pemain tengah import terbaik untuk kelab Pantai Timur itu.

Bersama TFC, dia beraksi dalam 33 perlawanan dan berjaya mencetak 13 jaringan dan tiga bantuan gol dalam saingan Liga Super sebelum pulang ke negara asalnya untuk beraksi di Liga Super Uzbekistan bersama AGMK Olmaliq selama satu musim.

Beliau dikenali sebagai salah seorang pemain yang rajin dan kreatif dalam merencana serangan pasukan sebelum prestasinya dilaporkan merudum lalu tidak disambung kontrak oleh pihak pengurusan.

Cuma pada masa sama, majoriti peminat bola sepak tempatan menyifatkan destinasi pemain yang kini masih mempunyai kontrak bersama kelab Liga Super Uzbekistan, Sogdiana itu dilihat lebih sesuai jika berhijrah ke Sri Pahang.

Jika ke Pahang, Sanjar boleh menyertai rakan senegaranya juga yang baru sahaja menyertai Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua musim ini iaitu Kuvondik Ruziev.

Walaupun Sri Pahang memaklumkan Ruziev dan Rafael Silva, 32 dari Brazil hanya dua pemain import baharu yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kali ini namun jika Lucas Silva sah meninggalkan Tok Gajah, Sanjar boleh mengisi kekosongan kuota tersebut.

Pengalaman Sanjar di Liga Malaysia dan kelab lain dipercayai menjadi suntikan penting dan menambah kreativiti di barisan tengah Sri Pahang, selain menjadi kelebihan buat pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad mempunyai banyak pilihan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram