AKIBAT nafsu melampau, seorang lelaki bertindak di luar kawalan selepas permintaannya ditolak teman wanitanya di Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor.
Perkara itu dikongsikan di laman Twitter pada Ahad yang menyaksikan individu terbabit merengek sambil mendesak kemahuan seksnya dituruti teman wanitanya.
Mendakwa sudah memberikan segala-galanya, si pelaku menganggap perkara lucah itu sebagai satu bentuk pertolongan dan menggesa agar nafsunya dituruti.
Difahamkan, insiden itu telah berlanjutan sejak beberapa minggu lalu yang menyaksikan wanita berkenaan kerap diganggu dengan kelakuan lucah selain turut pernah dikasari oleh lelaki terbabit.
Dalam satu video tular berdurasi 15 saat, memaparkan pemuda tersebut sedang menangis dengan situasi itu dipercayai dirakam sendiri oleh individu terbabit.
Rentetan kejadian itu, si pelaku dikatakan sanggup mencederakan diri sendiri dan mengugut untuk membunuh teman wanitanya.
Gadis berkenaan turut mendakwa, dirinya pernah menjadi mangsa pukul lelaki berkenaan sehingga mengalami kesan lebam di bahagian tangan.
Meskipun telah membuat laporan polis, lelaki tersebut dikatakan hanya direman selama empat hari dan kini masih bebas di luar bersama rekod jenayah dimilikinya.
Kerap menerima hantaran lucah dan ugutan di Whatsapp, pemuda itu juga dikatakan kerap memainkan sentimen anak yatim untuk meraih simpati teman wanitanya dan sehingga kini kelakuan itu masih berterusan dilakukan.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung perkara itu setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram