Fans Selangor 'bogelkan' 3 kelemahan game debut Boakye


  • Podium
  • Selasa, 11 Jul 2023

Boakye hadir dengan reputasi yang agak besar melalui pengalaman luasnya beraksi di pentas bola sepak Eropah. — Facebook/SelangorFC

KEHADIRAN penyerang import dari Ghana, Richmond Boakye-Yiadom ke kancah Liga Malaysia (M) bagi menyertai Selangor FC pada jendela perpindahan pertengahan musim kali ini merupakan satu berita yang mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air.

Mana tidaknya, penyerang berketinggian 1.86 meter itu hadir dengan reputasi agak tinggi apabila pernah beraksi di pentas tertinggi bola sepak Eropah bersama beberapa kelab di benua tersebut.

Pengalaman luas dimilikinya itu termasuk dengan membuat penampilan bersama kelab Serie A (Itali) seperti Genoa, Sassuolo dan Juventus.

Boakye, 30, turut pernah beraksi di kejohanan tertinggi pentas Eropah iaitu Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 (UCL) bersama kelab berpangkalan di Serbia, Red Star Belgrade.

Rekodnya bersama kelab tersebut juga agak memberangsangkan apabila dia berjaya meledak 43 gol dan mencatat 11 bantuan jaringan daripada 63 aksinya bersama pasukan terbabit.

Bagaimanapun, aksi sulungnya bersama Selangor FC bermula dengan rentak yang agak negatif selepas Gergasi Merah tewas 0-1 di tangan Sri Pahang FC saingan Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Dalam perlawanan tersebut, kemasukan Boakye pada minit ke-64 bagi menggantikan Ayron De Valle ternyata gagal untuk membantu skuad Lembah Klang itu mencari gol penyamaan.

Pada masa sama, meskipun hanya membuat penampilan selama kira-kira 26 minit dalam aksi tersebut, sudah mula timbul kritikan-kritikan yang mempersoalkan kebolehannya untuk memberi nilai tambah kepada barisan serangan pasukan Selangor FC.

Berikut Majoriti senaraikan tiga kelemahan yang dibangkitkan fans Selangor dalam aksi pertamanya bersama Gergasi Merah:

1. Ketajaman rembatan dari luar

358362525_748881787243552_3905814651979741360_n

Boakye (tengah) ketika aksi menentang Sri Pahang FC pada Ahad lalu. — Facebook/SelangorFC

Dalam penampilannya pada Ahad itu, Boakye dihidangkan dengan dua peluang terbuka untuk melakukan percubaan dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol.

Namun, kedua-dua rembatan dilepaskan oleh pemain itu agak mengecewakan dengan satu daripadanya meliar jauh daripada sasaran manakala satu lagi pula hanya meleret lemah menuju ke arah penjaga gol.

Kegagalan untuk sekurang-kurangnya menghadirkan ancaman melalui sepakan tersebut ternyata menimbulkan kritikan dalam penyokong pasukan.

"Tendangan lembik. Lebih baik main di gelanggang futsal," tulis Roslee Ngaisah.

2. Tahap kecergasan

357120110_741004524697945_6044586929507822092_n

Boakye ketika melakukan sesi memanas badan di pusat latihan Selangor FC. — Facebook/SelangorFC

Dalam pada itu, tahap kecergasan Boakye turut mendapat perhatian penyokong Gergasi Merah yang menyifatkan pemain tersebut belum benar-benar bersedia secara fizikal untuk bersaing di Liga Super.

Malah, terdapat juga antara komen mengatakan tahap tubuh dimiliki pemain itu seakan-akan tidak berada dalam keadan terbaik untuk membolehkan dirinya memenuhi potensi diharapkan sebagai penyerang utama.

Keputusan pengendali Selangor FC untuk menurunkannya dari bangku simpanan ketika perlawanan juga seakan-akan memberi gambaran mengenai tahap kecergasan Boakye yang masih belum menyakinkan barisan kejurulatihan pasukan.

"Saiz badan tu kecikkan sikit bang, baru berdesup lari. Nampak sizing macam lama tak main game kompetitif," ujar wannnabu.

Untuk rekod, kali terakhir Boakye beraksi adalah pada 4 Februari lalu bersama kelab bola sepak Libya, Al-Akhdar SC dalam perlawanan kumpulan A, Piala Konfederasi CAF dengan kontraknya bersama kelab tersebut kemudiannya berakhir pada 28 Mei lalu.

3. Keserasian di bahagian serangan

356142890_741004464697951_3478596546911163989_n

Boakye (kiri) bersama Cheng Hoe ketika sesi latihan. — Facebook/SelangorFC

Setiap pemain yang baru menyertai sesebuah pasukan tentunya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Bagi Boakye, kesukaran itu dapat dilihat dalam aksi singkatnya di atas padang ketika perlawanan tersebut apabila dia gagal membaca pergerakan daripada rakan sepasukan.

Antara mendapat perhatian pastinya tindakan dilakukannya ketika minit akhir perlawanan yang menyaksikannya membuat percubaan lemah dari luar kotak penalti ke gawang lawan meskipun dia mempunyai pilihan melakukan hantaran kepada pemain sayap sayap kanan pasukan, Faisal Halim yang berada di posisi lebih baik untuk menjaringkan gol.

Keputusan diambilnya itu sememangnya agak mengecewakan kerana gerakan dicetuskan pemain tengah Selangor FC, Yohandry Orozco itu merupakan peluang terbaik untuk Gergasi Merah mendapatkan jaringan gol penyamaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram