Dah pindah kelab baharu, tapi bekas tonggak TRW macam masih sindir Boszam


  • Podium
  • Ahad, 09 Jul 2023

Ismahel (tengah) memilih untuk menyertai skuad Kijang Hijau selepas kecewa dengan pengurusan Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC

ANTARA kesan terbesar di sebalik kemelut pengurusan dan kebajikan yang dialami Kelantan FC musim ini adalah apabila hampir keseluruhan pemain bintang meninggalkan kelab itu.

Pemergian pemain kelahiran Sepanyol, Miguel Cifuentes semestinya sukar dilupakan penyokong skuad The Red Warriors (TRW) melihat kepada sumbangannya sepanjang keberadaannya di Pantai Timur.

Namun, kehilangan seorang lagi tonggak pasukan iaitu Ismahel Akinade pastinya diratapi ramai pihak melihat kepada prestasinya yang cukup membanggakan sebelum ini.

Sepanjang kira-kira lima bulan dia beraksi buat Kelantan FC, penyerang tinggi lampai tersebut berjaya menjaringkan empat gol serta mencipta empat bantuan jaringan dalam 11 penampilan dicatatkan.

Meskipun sumbangan tersebut gagal untuk membantu naib juara Liga Perdana 2022 itu untuk berada di kedudukan lebih baik, ia masih boleh dianggap penting dalam mewarnai musim suram di kelab berkenaan.

Tetapi, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila peledak tinggi lampai tersebut memilih untuk menyertai seteru setempat skuad TRW, iaitu Kelantan United FC.

haha

Ismahel boleh dianggap sebagai salah seorang tonggak utama skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Langkah tersebut dianggap sedikit melukakan hati rata-rata penyokong Kelantan FC memandangkan kedua-dua kelab itu cukup dikenali dengan identiti serta sejarah yang berbeza.

Bagaimanapun, apabila mereka mengenangkan nasib serta kebajikan yang terabai pernah dialami Ismahel, hanya ucapan maju jaya yang dapat diungkapkan rata-rata pengikut setia skuad TRW.

Kehadirannya dalam skuad Kijang Hijau juga seakan-akan diterima dengan cukup baik apabila khidmatnya terus didambakan pengendali kelab, Ailton Silva.

Dalam aksi Liga Super menentang Perak FC pada Jumaat, jurulatih kelahiran Brazil tersebut meletakkan kepercayaan penuh terhadap pemain berusia 29 tahun tersebut untuk berada dalam kesebelasan utama.

Walaupun memulakan kariernya bersama Kelantan United dengan sedikit perlahan, sumbangannya dalam perlawanan tersebut tidak boleh dipandang rendah.

Memasuki minit ke-80, Ismahel yang mengetuai gerakan serangan balas memecut melepasi benteng pertahanan skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan harapan untuk mendapatkan jaringan penyamaan.

Namun, harapannya untuk mendapatkan gol dalam penampilan sulungnya bersama skuad Kijang Hijau tidak kesampaian apabila dia dijatuhkan pemain baharu Perak FC, Kim Youn-do.

Tetapi, ia masih boleh dianggap sebagai satu sumbangan cukup baik apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin.

Seperti dijangka, Ismahel semestinya menjadi salah seorang yang turut meraikan gol berkenaan apabila mengetahui dia dapat memberikan mata penting buat Kelantan United.

358453261_695632485909742_4665248397585702008_n

Gaya keraian Ismahel yang mencuri perhatian ramai pihak. Facebook/Kelantan United FC

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik perhatian di sebalik kegembiraannya itu adalah apabila dia seakan-akan dengan sengaja menyindir pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Penyerang kelahiran Nigeria itu dilihat meniru gaya usahawan tempatan tersebut yang seolah-olah menggambarkannya sedang menikmati burger keluarannya.

Ia disedari orang ramai apabila momen tersebut sempat direkodkan sebelum dimuat naik di laman Facebook rasmi Kelantan United sehingga penyokong Kelantan FC sempat memberikan respons terhadap Ismahel.

"Kenapa meraikan (gol Indra Putra) seperti sedang makan burger? Majikan lain dah tu," kata Seraf Diniy.

"Mesti meraikan seperti sedang makan burger, dendam terhadap bos lama ke tu?" soal Amir Zakaria dengan nada berseloroh.

"Dia nak tunjuk kepada bos lamanya lah tu, Zamburger punya produk memang sedap belaka," sindir Sham Adden.

Perkara sebegitu bukanlah sesuatu yang baharu apabila penyerang tersebut juga pernah berkelakuan sebegitu beberapa hari sebelum meninggalkan skuad TRW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram