Perhitungan Rafael-Boakye jadi tontonan di Kuantan?


  • Podium
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Boakye dan Rafael (kanan) mungkin ditampilkan dalam perlawanan saingan Liga Super antara Selangor dan Sri Pahang pada Ahad.

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

BANYAK yang sudah diuar-uarkan mengenai ketibaan penyerang import terbaharu Sri Pahang FC, Rafael da Silva Souza. Tidak sedikit juga publisiti mengenai Richmond Boakye-Yiadom, yang diumumkan sebagai tenaga import terbaharu Selangor FC, 28 Jun lalu.

Dengan kedua-duanya tidak sabar menantikan kemunculan pertama dalam Liga Malaysia, kemungkinan besar Stadium Darul Makmur, Kuantan akan menjadi medan perhitungan di antara mereka petang esok (Ahad).

Kedua-dua pasukan, bagaimanapun, enggan mengesahkannya dengan alasan baik Rafael mahupun Boakye memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baru masing-masing.

358088049_640706508091384_2937512150429362017_n

Rafael sudah didaftarkan sebagai pemain Sri Pahang FC. — Sri Pahang FC

Dalam pada itu, kedua-dua Sri Pahang FC dan Selangor FC tidak menolak kemungkinan ayam tambatan baharu masing-masing ditampilkan untuk sebahagian perlawanan jika pun tidak dari wisel mula.

“Rafael memang sudah didaftarkan,” kongsi pengurus Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh, dengan Laptop Cabuk.

“Rafael tak fit lagi tapi ada dalam list 20 pemain. Dia pun baru tiga hari menyertai latihan,” jawabnya menerusi pesanan WhatsApp.

Diajukan kepadanya bahawa seorang penyerang hebat tidak perlukan masa terlalu lama, Dollah memberi reaksi: “Harap-harap macam tu lah.”

Rafael, 32, yang beraksi di posisi serangan dan mampu bermain sebagai sayap kanan dan kiri, sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan dalam Liga Brazil, Portugal, China, Bolivia, Iraq dan Indonesia.

Musim terbaiknya ialah ketika beraksi di Indonesia dengan PS Barito Putera apabila menjaringkan 14 gol dan melakukan empat bantuan jaringan dalam 28 penampilan.

355701152_632661652229203_5243802373050644114_n

Dollah bersama kapten pasukan Tok Gajah, Sergio Aguero. — Sri Pahang FC

Sepanjang 216 perlawanan yang meliputi aksinya di sembilan negara, Rafael, yang diumumkan ketibaannya menerusi laman rasmi Facebook Sri Pahang FC pada Rabu, menjaringkan 60 gol dan melakukan 13 bantuan jaringan.

Kemasukannya menamatkan teka-teki dalam kalangan peminat terhadap gandingan terbaik buat Kpah Sherman yang kerap bergerak solo di barisan depan sepanjang pusingan pertama liga.

Di pihak berlawanan pula, Boakye (sebut Bo-a-che) yang sarat dengan testimonial penjelajahan panjangnya di Eropah, dipertaruhkan untuk menambah opsyen di barisan depan Selangor FC di samping menjadi contoh teladan buat pemain-pemain muda dalam pasukan.

“Dia tiba dengan testimonial yang hebat. Kami belum lagi melihat aksi sebenarnya dalam latihan tapi pengalaman luasnya di Eropah selain pernah bersama pasukan Black Stars Ghana dalam kelayakan Piala Dunia adalah mengagumkan,” kata Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe, 29 Jun lalu.

Laman Ghana Soccernet melaporkan Boakye, yang menyertai Selangor FC di atas perpindahan percuma dengan kontrak enam bulan, kali terakhir membuat 11 penampilan bersama kelab Libya, Al Akhdar, dan menjaringkan tiga gol sebelum mengakhiri kontraknya 30 Mei lalu.

Penyerang berpengalaman itu dikenali dengan kejayaannya di Itali, di mana dia menyarung jersi kelab terkemuka termasuk Genoa, Sassuolo, Juventus, Atalanta, and Latina. Ia seterusnya membawanya ke kelab Red Star Belgrade dalam Liga Serbia.

356855686_740977881367276_9061260876859332793_n

Boakye melengkapkan kuota sembilan pemain import Selangor FC. — Selangor FC

Pemain berketinggian 1.86 m (6 kaki 1 inci) itu memenangi empat kejuaraan liga bersama Red Star sebelum meneruskan penjelajahannya bersama Gornik Zabrze (Poland), Beitar Jerusalem dan PAS Lamia (Greece). Selangor FC adalah kelab ke-14 dalam kerjayanya yang bermula di Genoa pada 2010.

Dia turut membuat 19 kemunculan serta tujuh gol untuk skuad kebangsaan Ghana, dengan yang terakhir tiba ketika berdepan Comoros dalam Kejohanan Piala Negara-Negara Arika 2021 di Cameroon.

Boakye melengkapkan kuota sembilan pemain import Selangor FC yang dari awal musim turut membariskan tiga rakan senegaranya dari Ghana, Richmond Tetteh Ankrah, 23, Rauf Salifu, 21, dan Alex Agyarkwa, 23.

Boakye, 30, yang baru kira-kira seminggu menyertai latihan pasukan, tidak dicadangkan untuk diturunkan dalam perlawanan liga dalam masa singkat.

“Dia turut serta dalam pasukan ke Kuantan tapi kami perlu melihat keadaannya dulu sebelum kami memutuskan senarai pemain (berdepan Sri Pahang),” kata Cheng Hoe melalui pesanan WhatsApp pada petang Sabtu ketika dalam perjalanan menaiki bas pasukan.

356142890_741004464697951_3478596546911163989_n

Cheng Hoe (kanan) mahu melihat keadaan Boakye dulu sebelum memutuskan senarai pemain berdepan Sri Pahang. — Selangor FC

Dia dijangka membentuk gandingan mantap dengan Ayron Del Valle, yang sudah menjaringkan 13 gol dan membuat tiga bantuan dalam hanya 14 perlawanan liga.

Sasaran Boakye kini adalah mahu membantu Selangor menduduki dua teratas liga dan layak ke peringkat kejohanan Asia pada musim depan.

“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh dan komited sepenuhnya untuk menang bersama pasukan.

"Tiada pasukan tanpa peminat. Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripadanya. Saya mahu mencipta sejarah dan mencipta legasi,” katanya sebelum ini.

Dengan dua perlawanan pertama selepas jendela perpindahan kedua menyaksikan keempat-empat pasukan menampilkan pemain baharu masing-masing pada Jumaat – Perak dengan Azalinullah Alias, Jesper Nyholm dan Kim Kang-Hyun, Kelantan United dengan Ismahil Akinade dan Qayyum Marjoni manakala Terengganu FC dengan Norhakim Hassan – Sri Pahang dan Selangor FC dijangka turut berbuat yang sama.

Perhitungan di antara gandingan Sherman-Rafael dan Ayron-Boakye dalam memburu jaringan buat pasukan masing-masing petang esok (Ahad), boleh dijangkakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram