BENARLAH kata pepatah, seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, tetapi seorang anak belum tentu boleh menjaga ibu mereka.
Kata-kata itu sesuai menggambarkan situasi dialami seorang wanita yang ditemui bersendirian di tepi jalan dipercayai ditinggalkan ahli keluarga.
Perkongsian itu dimuat naik di laman TikTok @jambu_balakong pada Jumaat, sebelum ia menjadi tular di media sosial.
“Tergamak anak-anak halau mak, kalau tak mampu jaga hantarlah ke rumah kebajikan, bukan biar macam itu saja.
“Viralkan supaya anak-anak dia nampak video ini,” kata pemilik akaun menerusi kapsyen di video tersebut.
Berdasarkan dialek yang dilontarkan wanita berkenaan, dia dipercayai berasal dari Terengganu, malah abangnya juga difahamkan turut berada di negeri Pantai Timur itu.
Menerusi video tersebut, ibu kepada empat cahaya mata itu juga dilihat mengeluarkan sekeping kertas tertulis nama dan nombor telefon ahli keluarganya dan menunjukkan kertas tersebut kepada individu yang merakam.
Dia mendakwa dirinya mempunyai empat cahaya mata, namun tiada siapa yang sudi menjaganya.
“(Anak) tak boleh ambil, semua tak nak jaga belaka,” luahnya.
Dua daripada empat orang anaknya dipercayai kini sedang menetap masing-masing di Kuala Lumpur dan Semenyih, Selangor.
Individu lelaki yang menemui wanita tersebut membuat keputusan untuk membawanya pulang ke rumah seketika dan memberi dia makan, minum serta berehat sebentar.
Difahamkan, cubaan lelaki tersebut untuk menghubungi anak-anaknya juga gagal apabila tidak ada seorang pun yang mengangkat telefon.
Ibu malang tersebut juga kini dikatakan berada di bawah jagaan pihak berkuasa setelah lelaki berkenaan membuat laporan di balai polis berhampiran.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan media dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kes tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut berang dengan tindakan anak-anak wanita berkenaan yang enggan melaksanakan tanggungjawab untuk menjaga insan yang telah melahirkan mereka.
“Aku macam tak percaya ada anak-anak yang sanggup buang mak ayah, macam mana perasaan mereka?” soal ilawati.
“Ya ALLAH kenapalah anak-anak dia buat macam ni, aku yang baru kehilangan ibu sedih sangat tengok video ni, mesti makcik ni masak sedap, rindu masakan mak,” luah pengguna TikTok dengan nama oliey on off.
“Susah ke senang ke tanggungjawab kena jaga juga. Mak tu bukan patung boleh suka-suka buang. Sedihlah manusia macam ini,” kata annasuii. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram