PELAKSANAAN gaji minimum sebanyak RM1,500 melibatkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja mula berkuat kuasa pada Sabtu.
Ia susulan ketetapan kerajaan pada akhir tahun lalu apabila penguatkuasaan tersebut ditangguhkan selama enam bulan berbanding tarikh awal yang ditetapkan iaitu pada 1 Januari 2023.
Pelaksanaannya akan melibatkan semua sektor termasuk perladangan, pertanian dan pembuatan kecuali perkhidmatan domestik dan aparentis.
Pastinya pengumuman itu akan menggembirakan golongan pekerja apatah lagi apabila terpaksa berdepan situasi ekonomi kini yang semakin mencabar.
Bagaimanapun, perkara itu dilihat mendatangkan keresahan buat para pemilik perniagaan.
Ini kerana, kebanyakan majikan yang memiliki kurang daripada lima pekerja terdiri daripada peniaga kecil dan sederhana atau yang baru meningkat naik.
Jadi, ada yang berpendapat masih ramai sebenarnya majikan yang belum cukup mampu untuk menanggung jumlah gaji sedemikian.
Malah, tidak mustahil sekiranya selepas ini sesetengah syarikat terpaksa membuat keputusan untuk membuang pekerja mereka bagi melaksanakan penguatkuasaan tersebut.
“Yang berniaga saja faham nak mulakan syarikat, nak ambil pekerja. Sebagai majikan, percayalah semua majikan nak bagi yang terbaik untuk staf.
“Cuma bila keadaan tenat, serba salah jadinya. Ada yang sampai terpaksa kena buang dan berharap mereka dapat rezeki lebih baik di luar sana. Doa sajalah yang mampu kita beri,” luah Nur Saudah Alifah.
“Pekerja happy, majikan sengsara. Kebanyakan yang kurang lima pekerja ni syarikat kecil baru nak hidup,” kata Pakcu Sofi.
“Jika tidak mampu bayar RM1,500, itu maksudnya owner bisnes belum layak hire pekerja. Majikan orang yang paling layak untuk berkorban dari segi akal fikiran dan kudrat. Bisnes tu bukan mudah,” ujar Mieya Noty.
“Tahniah, tidak lama lagi majikan habis tutup bisnes,” kata Eira Qaisara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram