BINTANG muda warisan negara, Kobe Jae Chong mencetuskan spekulasi apabila memuat naik status yang menimbulkan teka-teki tentang status dirinya.
"Free agent (ejen bebas)," ciap Kobe menerusi laman Twitternya pada Sabtu, dipercayai merujuk kepada status dirinya yang tidak terikat dengan mana-mana kelab.
Berdasarkan semakan di Transfermrkt, pemain kelahiran Birmingham, England itu kini beraksi bersama kelab Nuneaton Borough iaitu kelab yang bermain divisyen tujuh di negara tersebut.
Pemain berusia 21 tahun itu menyertai kelab berkenaan pada Februari lalu dan kontraknya bakal tamat pada hujung Jun ini.
Susulan ciapannya itu, penyokong bola sepak tanah air tidak menunggu lama untuk 'memaklumkan' kelab masing-masing untuk menyambar pemain tengah itu.
Antara penyokong kelab Liga Malaysia (Liga M) yang pantas meletakkan 'tag' kelab termasuk Kedah Darul Aman FC, Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).
Kobe Jae Chong (tengah) ketika bersama kelabnya, AFC Telford.
Sebelum ini, pemain berusia 21 tahun itu bermain bersama kelab AFC Telford United yang beraksi dalam National League North di England.
Terdahulu, pada Mei 2022, pemain tengah itu pernah berjumpa dengan Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Namun difahamkan, JDT muncul sebagai kelab yang bakal menandatangani Jae Chong pada jendela perpindahan kedua musim ini tetapi perkara itu masih belum disahkan.
Walaupun tidak pernah mencetak sebarang gol ketika diturunkan, namun pemain itu telah memiliki sebanyak 14 penampilan sepanjang beraksi di liga National League North.
Oleh itu, kebanyakan penyokong bola sepak tempatan merasakan Kobe patut bermain di kancah Liga Malaysia dalam memberikan saingan kepada pemain tempatan dan menguatkan jentera tengah pasukan sama ada di peringkat kelab mahupun negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram