PENGISYTIHARAN pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat lalu memberi tanda bermulanya demam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri tersebut.
Walaupun tarikh PRN di negeri berkenaan masih belum diumumkan, namun semua parti mula menggiatkan usaha mengerah jentera politik mereka di serata Selangor bagi mengaut undi sebanyak mungkin.
Sekadar info, kerajaan PKR (sebelum ini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR)) mentadbir negeri Selangor pada 2008 selepas tampuk pimpinannya dirampas daripada Barisan Nasional dan kekal hingga kini.
Pelbagai cara dibuat oleh pihak pembangkang di negeri tersebut iaitu BN dan PAS untuk merampas semula legasi mereka untuk kembali berkuasa di Selangor menerusi gabungan Muafakat Nasional, malah ia turun menemui jalan mati dan terkubur.
Kini, PAS menjadi salah satu komponen dalam Perikatan Nasional (PN) sedang giat mengatur strategi bagi mewujudkan gelombang politiknya dalam negeri kubu kuat PH itu.
Manakala, BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN kali ini.
Tidak dinafikan gelombang PN itu wujud dalam negeri tersebut ketika ini, namun keyakinan PH untuk kekal berkuasa di Selangor dilihat terus menebal, dan ia memberi satu cabaran buat parti setahun jagung itu bagi memenangi hati-hati pengundi.
DUN Selangor dibubarkan pada Jumaat lalu bagi memberi laluan kepada PRN.
Di sebalik bahang PRN yang semakin hangat dirasai, warganet begitupun berdepan dilema untuk memilih bakal pemimpin untuk mentadbir Selangor.
Walaupun Selangor dipimpin oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari dikatakan memaparkan prestasi yang baik sepanjang pemerintahannya, namun segelintir rakyat negeri berkenaan kurang gemar dengan kepimpinan anak kelahiran Benut, Johor itu.
Pada mereka, lebih baik negeri serba maju itu ditadbir oleh anak jati Selangor supaya berasa dekat dengan mereka, selain lebih memahami permasalahan rakyat sendiri.
"Kita pilih anak selangor dan pastikan hanya wakil rakyat anak tempatan dipilih bukan orang luar," kata netizen, Khalid Amin.
Sementara itu, ada yang berpendapat bahawa pimpinan negeri yang ditadbir oleh anak jati Selangor sendiri akan membuatkan individu tersebut lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan melibatkan rakyatnya.
"Eloklah ambil anak negeri sendiri pegang apa-apa jawatan pun, sekurang-kurangnya dia rasa malu kalau dia nak buat sesuatu yang tidak baik kerana keluarganya dan saudara maranya (kerana mereka) orang negeri Selangor,
"Kalau dia buat juga perkara yang tidak baik malu itu pergi pada keluarganya sendiri kerana dia anak jati Selangor, cuba fikir-fikirkan," kata Mohd Saad.
Walaupun Amirudin dikatakan menunjukkan prestasi cemerlang semasa memimpin Selangor, ada segelintir pihak kurang senang kerana beliau bukan anak jati negeri itu. — Bernama
Namun, segelintir rakyat berpendapat bahawa mempunyai pemimpin dalam kalangan anak jati negeri itu sendiri tidak memberikan jaminan bahawa mereka akan menjaga negeri dengan baik.
Salah seorang warganet, Wan Abdul Kahar dengan mengambil contoh kerajaan Kelantan yang ketika ini dipimpin oleh anak jati negeri tersebut sendiri menunjukkan pretasi sebaliknya.
"Di Kelantan, Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar anak Kelantan, (tapi) hasilnya dapat 'air teh original' (air kotor). Baguskan anak negeri memerintah," katanya.
Bagi Aliteh Abdullah pula, dia tidak kisah tentang asal usul negeri kelahiran pemimpin yang bakal mentadbir negeri Selangor, asalkan mereka bertanggungjawab dan berdedikasi dalam membantu rakyat negeri berkenaan.
"Kita rakyat Malaysialah tidak kira di mana berada tetap dengan cintakan negara.
"Pilih pemimpin yang mempunyai kebolehan mentadbir dengan penuh amanah tidak kira asal dari mana kerana rakyat Malaysia dari negeri-negeri sudah lama merantau dan ramai yang bermastautin di sana," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram