PADA awal musim 2023, pemain Johor Darul Takzim (JDT), Ramadhan Saifullah pernah dikaitkan dengan kelab Liga 1 Thailand, iaitu BG Pathum United selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid menyertai Ratchaburi FC pada Januari tahun ini.
Namun dengan tiada sebarang perkhabaran terbaharu diterima berhubung penyertaan ke kelab itu, timbul pula desas-desus mengatakan pemain muda berusia 23 tahun tersebut bakal dipinjamkan ke Sri Pahang FC (SRP) menjelang jendela perpindahan pada Julai nanti.
Spekulasi itu dibuat susulan satu hantaran yang dimuat naik di laman Instagram @palatao_bola pada Ahad.
Perpindahan tersebut dilihat mampu membantu skuad Tok Gajah mempamerkan corak permainan yang lebih agresif dalam pusingan kedua liga musim ini.
Para penyokong juga percaya khabar angin itu sebenarnya boleh menguntungkan banyak pihak.
Selain bakal memberi satu perkembangan positif buat prestasi skuad Pantai Timur, ia juga akan membantu dari segi lonjakan karier pemain kelahiran Johor Bahru, Johor itu.
Dengan perpindahan tersebut, Ramadhan dilihat mampu untuk menimba lebih banyak pengalaman, mendapatkan minit permainan selain mengembangkan bakatnya di atas padang.
Tangkap layar hantaran di Instagram @palatao_bola bola Ahad menguatkan khabar angin perpindahan tersebut. — Instagram/palatao_bola
Pemain berketinggian 1.79 meter itu merupakan antara sayap sensasi pasukan Harimau Selatan namun dia biasa diturunkan sebagai pemain gantian sahaja.
Bagaimanapun, daripada 14 perlawanan Liga Super musim ini, dia hanya beraksi sebagai pemain gantian dalam tiga perlawanan.
Dengan persaingan hebat antara pemain dalam skuad Harimau Selatan dan kekurangan minit permainan, sudah tiba masanya dia mencari destinasi baharu untuk kebaikan dirinya sendiri.
Selain itu, perpindahan Ramadhan ke Sri Pahang FC bakal menguntungkan kelab kendalian Fandi Ahmad yang dikatakan sedang giat memperkukuh skuad termasuk di bahagian serangan.
Pasukan Pantai Timur itu juga ketika ini memerlukan penyerang baharu bagi memberi sokongan kepada Kpah Sherman, apatah lagi Lucas Espindola da Silva masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.
Perpindahan Ramadhan ke skuad Tok Gajah bakal menguntungkan kelab yang sedang giat memperkukuh pasukan. — Facebook/ Sri Pahang FC
Rata-rata penyokong turut berpendapat perpindahan pemain berkenaan ke skuad Tok Gajah dapat menguntungkan banyak pihak.
"Kini Ramadhan banyak bantu skuad Piala MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) untuk buktikan kualiti. Pinjaman ke Sri Pahang akan untungkan dua pihak," menurut hantaran di Instagram palatao_bola bola.
"Ramadhan tak jadi main liga Thailand sebab tak dapat call up masa AFF (Piala Persekutuan Bola Sepak Asean) sebelum ini. Kalau dapat dan dapat caps mesti dah main liga Thai," kata @fiq.hzln.
"Tak untung admin sebab masa lawan JDT, player loan JDT tak boleh diturunkan. Baik beli terus dengan kadar bayaran win-win situation. Biar Liga MSL lagi competitive," ujar @lah_hubaqkie memberikan pendapat berbeza pula.
Sri Pahang kini berada di kedudukan ketiga dengan 31 mata selepas melakarkan sembilan kemenangan, empat seri dan dua tewas dalam 15 aksi Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram